Saya tak tandatangan SD, politik Sabah tenang-tenang saja - Armizan
Madiha Abdullah
Januari 9, 2024 20:30 MYT
Januari 9, 2024 20:30 MYT
PELABUHAN KLANG: Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali menafikan menandatangani sebarang akuan berkanun (SD) untuk menjatuhkan pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu berkata beliau tidak pernah didekati mana-mana pihak berhubung perkara itu.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menjelaskan, situasi politik di Sabah berada dalam keadaan tenang dan kerjasama antara parti yang membentuk kerajaan semakin erat.
"Bagi saya, cukup-cukuplah. Kita tidak perlu diskusikan perkara ini lagi. Dengan masa yang ada, kita perlu pastikan ia digunakan sepenuhnya untuk meneruskan agenda-agenda yang disasarkan.
"Sebagai pemimpin dari Sabah, apa yang saya pentingkan ialah kepimpinan kerajaan perpaduan sedia ada yang saya lihat telah memberi komitmen yang amat tinggi.
"Pelbagai perancangan antara kerajaan persekutuan dan negeri sudah digariskan untuk menangani isu legasi dan saya yakin kita tidak akan melangkah ke belakang, apa lagi takkan bertindak menggagalkan perancangan yang sudah digariskan," katanya ketika ditemui selepas membuat lawatan kerja meninjau persiapan Syarikat Perceptive Logistics bagi pelaksanaan projek perintis di Pelabuhan Klang, pada Selasa.
Terdahulu, penulis blog kontroversi, Raja Petra Kamaruddin mendakwa pembangkang berjaya memperoleh 120 SD untuk menjatuhkan pentadbiran Anwar.
Menurut Raja Petra, penyokong SD termasuk 14 daripada BN serta beberapa lagi dari Muda, GPS, PBM, GRS, Warisan, dan tiga anggota parlimen Sabah akan turut menyokong kerajaan pimpinan Perikatan Nasional (PN).