'Saya tak sihat' - Anthony Loke perjelas punca tidak hadir Jelajah Mega Madani Selangor

Umavathi Ramayah
Jun 25, 2023 11:19 MYT
Anthony Loke menjelaskan ketidakhadiran beliau ke Jelajah Mega Madani Selangor pada Sabtu adalah atas sebab masalah kesihatan. -Gambar fail/Bernama
PUTRAJAYA: Anthony Loke menjelaskan ketidakhadiran beliau ke Jelajah Mega Madani Selangor pada Sabtu adalah atas sebab masalah kesihatan.
"Saya tidak sihat, selepas program dengan Perdana Menteri di Nilai semalam, selepas program di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), saya balik rehat.
"Ada jemputan, cuma saya tak sihat, saya mandatkan kepada Gobind Singh yang hadir pada program itu.
"Banyak lagi program jelajah, mungkin dalam sebulan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Karnival Pelaut 2023 peringkat kebangsaan, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai ketidakhadiran beliau pada program itu walaupun poster Jelajah Mega Madani memaparkan gambar Ahli Parlimen Seremban itu.
Selain Menteri Pengangkutan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga tidak menghadiri acara yang diadakan di Dataran Kemerdekaan di Shah Alam, kurang 1 kilometer dari perhimpunan Perikatan Nasional (PN) di IDCC yang dihadiri oleh pemimpin tertinggi PN termasuk pengerusinya Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Pengerusi PN Selangor Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Ia mencetus spekulasi kononnya tiada ketidaksepakatan mengenai pembahagian kerusi dalam kalangan parti gabungan Kerajaan Perpaduan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).
Selangor dilihat sebagai negeri yang bakal menyaksikan pertempuran sengit pada PRN akan datang, yang akan membuktikan sama ada pengundi telah menerima kerjasama politik baharu di antara PH dan Barisan Nasional (BN), serta sama ada sebahagian besar sokongan Melayu masih dipegang PN.
#Kerajaan Perpaduan #Anthony Loke #Azmin Ali #Jelajah Mega Madani Selangor