Saya tak rasa apa-apa, anggap ini satu ujian Allah SWT - Ebit Lew

Eleanor Michelle Patrick
Februari 18, 2022 15:49 MYT
Ebit yang kini dalam lawatan ke Sabah untuk kerja-kerja amal menyifatkan pertuduhan itu tidak berasas, melampau dan bertujuan untuk menjatuhkan kredibilitinya.
TENOM: "Saya tidak rasa apa-apa sebab saya tahu saya tak bersalah dan saya yakin ini semua perancangan.
"Malah saya reda dengan segala ketentuan Allah SWT dan menganggap ini satu ujian Allah SWT untuk saya,".
Demikian luahan pendakwah terkenal, Ebit Lew selepas pendakwaan dilakukan ke atasnya susulan 11 pertuduhan termasuk gangguan seksual di Mahkamah di Tenom, Sabah pada Jumaat.
Ebit yang kini dalam lawatan ke Sabah untuk kerja-kerja amal menyifatkan pertuduhan itu tidak berasas, melampau dan bertujuan untuk menjatuhkan kredibilitinya.
BACA: Ebit Lew mengaku tidak bersalah, diikat jamin RM11,000
Katanya, tindakan menjatuhkan kredilibitinya itu dipercayai dilakukan oleh satu kumpulan supaya beliau menghentikan kerja-kerja membantu masyarakat.
"Ujian ini memang saya rasa berat dari dulu lagi. Jangan bersedih... saya bersyukur dengan ujian ini. Mudah-mudahan menjadi kebaikan untuk di akhirat," katanya pada sidang media seperti dipetik portal Deasoka.
Ditanya mengenai tindakannya selepas ini, Ebit yang berusia 37 tahun menyerahkan sepenuhnya kepada peguam.
[TERKINI] Ebit Lew didakwa termasuk tuduhan gangguan seksual
Terdahulu, Ebit Lew mengaku tidak bersalah atas 11 pertuduhan terhadapnya termasuk gangguan seksual di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani di Mahkamah Litar di Tenom, Sabah, hari ini.
Ebit didakwa di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya.
Pendakwaan telah dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Sabah, Muhammad Ilmami Ahmad dengan dibantu Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Azreen Yas Mohamad Ramli.
Manakala Ebit diwakili peguam Mohamed Zairi Zainal Abidin.
Majistret Nur Asyraf Zolhani yang mendengar pertuduhan kemudian menetapkan 20 April hingga 23 April depan sebagai tarikh penyerahan dokumen, manakala tarikh perbicaraan secara tentatif ditetapkan pada bulan Jun.
Sementara itu, Ebit dibebaskan dengan jaminan RM1,000 bagi setiap pertuduhan serta dua orang penjamin.
#Ebit Lew #Ujian Allah SWT #gangguan seksual #Ebit Lew didakwa
;