'Saya tak nafikan hak pengundi luar negara' - Nur Jazlan

Shahrul Hassan
Mei 7, 2018 06:31 MYT
Nur Jazlan berkata tweetnya di laman sosial tentang pengundi luar negara telah diputar belit dan disalah tafsir. - BERNAMA/Fail
Tiada hak pengundi dinafikan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, termasuk pengundi Malaysia yang berada di luar negara.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed, berkata tweetnya di laman sosial telah diputar belit dan disalah tafsir.
Katanya, fakta sebenar terdapat kira-kira 8,000 pengundi Malaysia yang berada di luar negara dan jumlah itu terlalu kecil jika dibahagikan kepada 222 kerusi Parlimen dan 587 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Malah, dengan peratusan kecil pengundi luar negara itu, ia tidak akan mengubah apa-apa keputusan dalam satu-satu kawasan, katanya.
"Pandangan saya, undi itu walaupun penting tetapi ia tidak akan mengubah keputusan di sesuatu kawasan kerana jumlah (pengundi Malaysia di luar negara) amat kecil.
"Kenyataan saya telah diputar belit dan saya tidak pernah pun menafikan hak sesiapa untuk mengundi," katanya ketika ditemui di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat di sini, hari ini.

Sorry. My mistake. Number of Malaysians voting overseas is abt 8,000 and not even 0.1% of the population as i thought earlier. Dont get excited abt it pic.twitter.com/wh8211tN8U

— Nur Jazlan Mohamed (@NurJazlan) May 6, 2018
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Tambahnya, sistem undi pos yang telah ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah yang terbaik bagi memudahkan dan menyenangkan mereka yang berada di luar kawasan untuk menunaikan tanggungjawab.
Jazlan berkata demikian apabila diminta mengulas kenyataannya di Twitter semalam yang mendakwa pengundi luar negara hanya 0.1 peratus daripada populasi rakyat Malaysia dan undian mereka tidak akan mengubah apa-apa keputusan.
Beliau memberi reaksi itu susulan mendapat aduan daripada beberapa pengundi luar negara yang mendakwa tidak dapat menghantar kertas undi tepat pada waktunya kerana tempoh kempen yang singkat pada PRU kali ini.
#MalaysiaMemilih #Nur Jazlan Mohamed #pengundi luar #PRU14 #SPR #Suruhanjaya Pilihan Raya #Twitter #undi pos