Saya tak kenal siapa Kevin Morais - Tertuduh
Harits Asyraf Hasnan
Februari 23, 2018 16:40 MYT
Februari 23, 2018 16:40 MYT
"Saya tak kenal siapa Kevin Morais," itu pengakuan tertuduh keempat apabila ditanya tentang penglibatannya dalam pembunuhan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Anthony Kevin Morais pada 2015.
Dalam sesi bela diri di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, A. K. Thinesh Kumar, 25 tahun turut mengakui, malam sebelum kejadian dia meminum arak dengan kuantiti yang banyak.
Menjawab kepada pertanyaan peguam bela, V. Rajehgopal, Thinesh berkata tindakan itu menyebabkan dia tertidur dalam kenderaan jenis Mitsubishi Triton yang juga merupakan kenderaan yang disyaki sengaja melanggar kereta Kevin Morais sebelum menculiknya.
"Saya, Nimalan, Dinishwaran dan Vishwanath menaiki (Mitsubishi) Triton manakala Jay (Gunasekaran) dan Ravi Chandran menaiki (Proton) Perdana.
"Kami diminta untuk mengekori mereka Jay dan Ravi. Saya tak tahu ke mana. Selepas naik Triton, saya telah tidur. Sekejap sahaja selepas naik kereta, saya terus tidur sehingga saya dikejut ketika tiba semula di hotel," katanya.
Malah, Thinesh, Nimalan, Dinishwaran dan Vishwanath turut pergi ke panggung wayang, makan malam dan bermain snuker pada malam sebelum kehilangan Kevin.
Sewaktu pemeriksaan balas, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata semasa kedua-dua kenderaan mereka berhenti, kesemua mereka melihat kereta Perdana berwarna kelabu yang dipandu Kevin Morais keluar dari kawasan perumahan.
"Saya tidak tahu siapa Kevin Morais," jawab Thinesh yang menggunakan jurubahasa sepanjang prosiding tersebut.
Dinishwaran, 26; Thinesh Kumar, 25; Vishwanath, 28; Nimalan, 25, Ravi Chandaran, 47, dan Dr R Kunaseegaran, 55, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membunuh Kevin Morais dalam perjalanan dari Jalan Dutamas 1, Sentul, ke No 1 Jalan USJ 1/6D, Subang Jaya, antara jam 7.00 pagi dan 8.00 malam, 4 September 2015.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung 7 Mac depan.
#Anthony Kevin Morais
#Datuk Anthony Kevin Morais
#Hakim Datuk Azman Abdullah
#kes bunuh
#Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur
#mati
#Timbalan Pendakwa Raya