'Saya tak boleh dibeli, dijolok-jolok dengan projek untuk diam' - TMJ

Sinar Harian
Jun 10, 2024 09:00 MYT
Tunku Ismail menghadiri sesi podcast pada Program Johor Youth Meet-up di Kompleks Sukan Educity, di Johor Bahru, pada Ahad. - Gambar BERNAMA
PEMANGKU Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim bertitah, baginda tidak boleh dibeli dan tidak gentar untuk terus lantang bersuara demi kepentingan rakyat Johor.
Baginda mengakui sedar disebabkan kelantangannya itu terdapat gerakan yang cuba melakukan pembunuhan watak (character assassination) terhadapnya sejak akhir-akhir ini.
Tunku Ismail bertitah, perkara itu berlaku kerana baginda merupakan anak raja yang paling lantang memperjuangkan isu rakyat berbanding.
Keadaan tersebut, titah baginda, menyebabkan pihak luar kurang senang terhadapnya yang lantang bersuara memperjuangkan kepentingan Johor serta rakyat negeri itu.
"Saya tak boleh dibeli, saya tak boleh dijolok-jolok dengan projek untuk saya diam.
"Kalau perkara itu betul, saya akan cakap betul dan sekiranya perkara itu tak betul, saya akan cakap tak betul, tak kisah ia dari kerajaan atau pun parti politik.
"Oleh kerana kelantangan saya dan sentiasa memainkan isu kepentingan negeri Johor dan rakyat Johor, ada pihak luar yang kurang senang dengan saya dan adanya gerakan 'character assassination' ini," titah baginda.
Baginda membuat pendedahan itu dalam sesi podcast secara langsung bersempena Program Johor Youth Meet-up di Kompleks Sukan Educity, pada Ahad.
Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Setiausaha Kerajaan negeri, Tan Sri Dr Azmi Rohani bersama barisan Exco kerajaan negeri.
Walaupun begitu, Pemangku Sultan Johor itu bertitah, baginda tidak terkesan dengan gerakan tersebut dan akan terus meneruskan memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat Johor.
Titahnya, dengan kuasa dan pangkat yang ada, kepentingan Johor dan seluruh rakyatnya akan terus menjadi keutamaan baginda sampai bila-bila.
"Ini adalah motivasi buat saya, saya harap apabila saya sudah tidak ada lagi dalam dunia ini, rakyat Johor akan kenang jasa dan perkhidmatan saya kepada negeri ini.
"Jika saya tak boleh guna kedudukan yang diberikan ini (Pemangku Sultan Johor) dan mengambil kesempatan sepenuhnya untuk melakukan perubahan, baik tak perlu sahaja kedudukan ini," titah baginda.
Tambah Tunku Ismail, matlamatnya adalah untuk membuat perubahan dan perbaiki negeri ini dan kehidupan rakyatnya daripada setiap aspek termasuk pembangunan infrastruktur dan pendidikan. - Sinar Harian
#TMJ #tunku mahkota ismail #Pemangku Sultan Johor #character assassination
;