'Saya sudah tahu dia ada sini, Sang Pencipta dia sudah ambil'

Siti Nur Aqilla Omar
Julai 25, 2022 06:15 MYT
Azmawati berkata hati dan fikirannya tenang kerana sudah tahu anaknya telah bertemu Sang Pencipta. - Astro AWANI
PASIR GUDANG: Penantian dan doa seorang ibu hampir 10 bulan untuk bertemu anaknya yang hilang pada 29 Oktober tahun lalu, berakhir.
Malah segala persoalan dan rindu pada anak sulungnya Muhammad Iman Aqmar Dzulkarnain terlerai dengan bertandakan nisan.
Azmawati Ab Kadir ternyata reha dengan ketentuan Allah bahawa anak yang dalam perjalanan pulang ke tempat kerja dari Pasir Gudang ke Kemaman, Terengganu.
Ditemui dalam Sungai Api-Api, Nenasi, Pekan pada Sabtu selepas gagal dihubungi sejak jam 1.30 pagi 29 Oktober lalu.
Azmawati berkata hati dan fikirannya tenang kerana sudah tahu anaknya telah bertemu Sang Pencipta.
"Lapang sangat, beban kalau tak terfikir-fikir mana anak aku? Kalau hujan macam sekarang ini saya akan fikir abang kat mana ye?
"Ni saya sudah tahu dia ada sini, Sang Pencipta dia sudah ambil, saya reda," katanya.
Manakala tunangnya, Nurfaizah Mahadi, 25, turut melahirkan rasa syukur penantiannya berakhir.
Katanya sepanjang kehilangan arwah, mimpi menjadi petanda.
"Saya rasa bersyukur sangat, ini jawapan yang saya tunggu.
"Selama 10 bulan ini saya fikir dia di mana, makan ke tidak. Kalau dia ada, risau lah.
"Ada mimpi dua kali, dalam mimpi saya tanya dia Awak pergi mana? Dia senyum tunjuk hilang.
"Kali kedua saya mimpi saya telefon dia, dia angkat. Awak di mana, semua orang cari awak. Saya ada sini, dalam 26hb saya balik lah," katanya.
Allahyarham Muhammad Iman Aqmar dan Nurfaizah sepatutnya melangsungkan pernikahan ketika ulang tahun kelahiran tunangnya itu pada Disember lalu.
Namun hajat mereka tidak kesampaian.
#ibu #Muhammad Iman Aqmar Dzulkarnain #Azmawati Ab Kadir #Nurfaizah Mahadi
;