'Saya sudah lama tidak rasa seronok' - PM
Astro Awani
Ogos 28, 2022 16:20 MYT
Ogos 28, 2022 16:20 MYT
SERDANG: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengakui beliau sudah lama tidak berasa seronok, apatah lagi berdepan pelbagai masalah, sejak kebelakangan ini.
Namun kata Perdana Menteri, segala masalah ibarat hilang ketika beliau bertemu kira-kira 7,000 warga Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) sewaktu menghadiri Perhimpinan Perdana sambutan 60 tahun di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini pada Ahad.
“Sesungguhnya, hari ini pasti amat mengembirakan saya, sebenarnya sudah lama saya tidak seronok macam hari ini, macam-macam masalah yang timbul, hari ini hilang semua masalah.
"Sebenarnya saya sudah lama merindui untuk bersama-sama warga KEMAS seperti suatu ketika dahulu," katanya ketika berucap dalam majlis itu.
Ismail Sabri memberitahu, ketika beliau menjawat jawatan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) dari 2015 hingga 2018, setiap program dihadirinya mengundang suasana ceria dengan adanya kehadiran kanak-kanak Tabika KEMAS yang sering menarik perhatian beliau.
"Ketika saya di KKLW atau di mana-mana, setiap program saya akan disambut kanak-kanak. Walaupun pagi mood tidak baik, bila ada kanak-kanak, selesai masalah dan program bertukar meriah," tambahnya.
Menurutnya, warga KEMAS diibaratnya sebagai barisan hadapan dalam menyokong segala yang dilakukan oleh kerajaan.
“Cuma dari segi sejarahnya, suatu ketika dahulu, KEMAS hilang dari pandangan mata masyarakat, kita tahu kenapa, ada orang diberi amaran pilihan antara dua hendak berkemas keluar atau hendak tinggal dalam KEMAS," tambahnya.
Terdahulu, PM Ismail Sabri mengumumkan kenaikan elaun Pembantu Pembangunan Masyarakat Sukarela KEMAS yang sebelum ini sebanyak RM500 kepada RM800, melibatkan 9,439 orang.
Beliau turut mengumumkan kenaikan bantuan kos sara hidup kepada RM500 berbanding RM300 sebelum ini bagi mengenang jasa anggota Persatuan Bekas Anggota KEMAS Malaysia (PBAKM) sejumlah 4,423 orang.