'Saya sempat dengar isteri sebut "Allahuakhbar" sebelum dirempuh' - Suami
Bernama
Januari 29, 2022 16:18 MYT
Januari 29, 2022 16:18 MYT
KOTA BHARU: "Saya hanya sempat mendengar arwah isteri menyebut Allahuakhbar sebelum kami dirempuh kenderaan itu," demikian diceritakan Mohd Nazri Hamid, 44, mengenai kejadian kemalangan yang meragut nyawa isteri serta tiga anaknya di Kilometer 2 Jalan Lebu-Mempaga, Bentong, Pahang petang semalam.
Kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire yang dinaiki mereka sekeluarga dirempuh sebuah pacuan empat roda Nissan Navara yang dipercayai melanggar lampu isyarat merah dan kejadian itu menyebabkan guru Bahasa Inggeris Sekolah Kebangsaan (SK) Aring, Gua Musang, Raihan Mohamad, 43, serta tiga anaknya iaitu Ahda Dalili Mohd Nazri, 14, Ahmad Muaz, 7, dan Ahda Imtinan, 4, maut.
Mohd Nazri, yang juga seorang guru di sekolah sama berkata ketika kejadian, mereka sekeluarga dalam perjalanan dari rumah di kuarters kediaman guru di sekolah itu pada pukul 10 pagi menuju ke Kuala Lumpur untuk menghadiri kenduri anak saudara kepada Allahyarham isterinya di Kajang yang akan berlangsung pada hari ini.
Menurutnya, perjalanan itu turut diiringi abang iparnya yang menaiki kereta jenis Mitsubishi Pajero bersama dua anaknya lagi Ahda Fasihah, 11, dan Ahmad Awaz, 12, yang terselamat dalam kejadian itu.
BACA: Tragedi kenduri kahwin: Ibu dan tiga anak maut, kereta bertembung di persimpangan lampu isyarat
"Ketika tiba berhampiran lencongan di Sungai Koyan, ada sebuah treler terbalik sekali gus membuatkan perjalanan tergendala sekitar 30 minit. Selepas itu, saya meneruskan perjalanan untuk ke Karak-Kuala Lumpur dan ketika itulah kenderaan yang dipandu saya dirempuh oleh sebuah pacuan empat roda Nissan Navara yang dipercayai melanggar lampu isyarat merah.
"Kejadian itu menyebabkan isteri dan tiga anak kami tercampak keluar dari kenderaan...saya tidak sempat berbuat apa-apa dan tidak nampak kehadiran kenderaan itu di hadapan kereta kami," ujarnya sebak ketika ditemui pemberita di Tanah Perkuburan Islam Mukim Panchor, Pengkalan Chepa, di sini hari ini.
Jenazah empat beranak yang maut dalam kejadian itu dikebumikan dalam satu liang lahad di tanah perkuburan tersebut pada 9.50 pagi tadi.
Terdahulu, jenazah tiba dengan van jenazah pada 8.30 pagi dan disembahyangkan di Masjid As-Siddiqin, Panchor di sini yang diimamkan oleh suami mangsa.
-- BERNAMA