"Saya selalu pesan elak berjabat tangan, tapi sekarang ada yang berpeluk..." - Muhyiddin
Hasimi Muhamad
Julai 20, 2020 17:52 MYT
Julai 20, 2020 17:52 MYT
Amalan norma baharu yang diterapkan dalam usaha mencegah penularan COVID-19 perlu kekal diteruskan dalam kalangan masyarakat di negara ini.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kejayaan memerangi COVID-19 dalam fasa pemulihan ketika ini adalah bergantung kepada kesedaran dan diri sendiri.
Tambah beliau, nasihat pernah diberikan sebelum ini agar orang ramai mengelakkan amalan berjabat tangan, namun perkara itu jelas dilihat tidak lagi dipatuhi.
"Saya selalu berpesan supaya saudara-saudari semua elakkan berjabat tangan. Saya tengok sekarang dah ada yang bukan sahaja berjabat tangan, malah berpeluk ketika berjumpa sahabat-handai dan sanak-saudara.
"Ya, itu bagus untuk eratkan persahabatan dan persaudaraan. Tetapi jangan kita lupa. Kita masih berada dalam fasa pemulihan COVID-19," katanya di sini, pada Isnin.
Perdana Menteri berkata demikian dalam Perutusan Khas Perdana Menteri mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), hari ini.
Jelas beliau, amalan berjabat tangan memang baik dari segi pergaulan sosial, namun ia boleh mengundang risiko jangkitan COVID-19.
"Ia amat tidak baik dari segi usaha kita untuk melindungi diri sendiri dan orang di sekeliling kita daripada dijangkiti virus COVID-19," katanya.
Selain itu, Perdana Menteri mengingatkan agar masyarakat tidak mengambil ringan amalan pemakaian pelitup muka di tempat awam, dengan alasan kes COVID-19 semakin berkurangan.
"Penjarakan sosial juga mesti diteruskan. Pastikan jarak anda sekurang-kurangnya satu meter dari orang lain.
"Elak tempat yang sesak dan sempit. Sentiasa beringat untuk elakkan sentuhan badan," katanya.
Terdahulu, Muhyiddin dalam perutusan sama memaklumkan kerajaan sedang mempertimbangkan untuk mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat-tempat awam.
#COVID-19
#Jabat tangan
#Muhyiddin Yassin
#Perdana Menteri
#Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan
#PKPP