Saya secara palsu dikaitkan dengan perbuatan salah laku Jho Low - Najib
Bernama
Disember 5, 2024 16:23 MYT
Disember 5, 2024 16:23 MYT
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau secara palsu dilibatkan dalam perbuatan salah laku ahli perniagaan yang sedang diburu Low Taek Jho, juga dikenali sebagai Jho Low, berkaitan hal ehwal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Ringkasan AI
- Penafian Najib: Datuk Seri Najib Tun Razak menafikan penglibatannya dalam salah laku berkaitan 1MDB, menyatakan bahawa dakwaan terhadapnya hanya berdasarkan kehadiran Jho Low di kediamannya.
- Hubungan dengan Jho Low: Najib menegaskan bahawa hubungan rapat dengan Jho Low tidak bermakna beliau memberi arahan atau kuasa kepada Jho Low untuk bertindak bagi pihaknya atau 1MDB.
- Kenyataan Saksi: Najib menyangkal dakwaan Jasmine Loo bahawa Jho Low berada di kediamannya untuk mendapatkan tandatangan Najib, menyatakan bahawa beliau hanya menandatangani resolusi yang telah diluluskan oleh lembaga 1MDB.
Najib berhujah bahawa dakwaan terhadapnya hanya berdasarkan kehadiran Jho Low di kediamannya dan hubungan mereka dikatakan rapat yang disensasikan, terutamanya memandangkan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, bekas peguam 1MDB Jasmine Loo dan bekas pengurus perhubungan pelanggan AmBank Joanna Yu, mempunyai hubungan yang lebih rapat dengan Jho Low.
"Jasmine Loo, Joanna Yu dan Shahrol Azral sendiri telah melawat Jho Low di kediamannya dan pengakuan Shahrol Azral di mahkamah bahawa dia membuat nasi goreng untuk Jho Low... dan jangan lupa Joanna Yu membuat sup untuk Jho Low ketika dia tidak sihat.
"Untuk rekod, saya tidak pernah menyediakan sebarang hidangan untuk Jho Low," katanya semasa membaca daripada jilid pertama kenyataan saksinya setebal 525 muka surat.
Hari ini merupakan hari keempat bekas ahli parlimen Pekan itu mengambil pendirian membela diri terhadap empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan RM2.3 bilion dana 1MDB sebagai rasuah dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.
Najib berkata walaupun beliau tidak menafikan bahawa pada masa tertentu Jho Low hadir di kediamannya di Langgak Duta, adalah penting untuk memahami konteks interaksinya dengan Jho Low pada masa itu.
"Keyakinan saya terhadap Jho Low timbul daripada imej menarik yang ditonjolkannya sebagai individu yang berkebolehan tinggi dan mempunyai banyak hubungan.
"Imej profesionalisme dan kecekapan strategiknya yang dipupuk, digandingkan pula dengan kebolehan memujuk, menjadikan dia seorang yang layak mendapat kepercayaan dan keyakinan," katanya.
Najib berkata pada masa itu beliau tidak mempunyai sebab untuk mempersoalkan niat atau tindakan Jho Low, kerana urusannya dengan ahli perniagaan itu sentiasa berpandukan hanya kepada perkara yang dipercayainya untuk kepentingan Malaysia.
"Bagaimanapun hanya kerana saya mempercayai Jho Low, itu tidak bermakna saya memberinya arahan untuk bertindak sebagai perantara untuk diri saya sendiri dan pengurusan atau pengarah 1MDB, dan tidak bermakna saya memberi kuasa kepadanya untuk membawa resolusi, seperti Special Rights Redeemable Preference Shareholder Resolution (SRR) 1MDB dan Minit Perwakilan (MR) untuk tandatangan saya di kediaman saya di Langgak Duta," kata Najib semasa menyangkal dakwaan yang dibuat oleh Loo semasa memberi keterangan dalam perbicaraan ini.
Kenyataan Najib adalah sebagai respons kepada kenyataan Loo bahawa Jho Low berada di kediaman Najib di Langgak Duta, dan Loo akan menyerahkan dokumen SSR dan MR kepada Jho Low untuk mendapatkan tandatangan Najib.
Bekas perdana menteri itu mendakwa keterangan Loo itu bertujuan mewujudkan tanggapan bahawa dia dan Jho Low berkonspirasi bersama.
"Saya sebaliknya menjalankan tugas rasmi rutin tanpa syak wasangka, akan menandatangani resolusi yang dibentangkan pegawai saya.
"Saya juga harus menekankan bahawa saya tidak akan menandatangani sebarang resolusi melainkan lembaga 1MDB telah pun meluluskan melalui Resolusi Pekeliling Pengarah (DCR), dan DCR dilampirkan pada resolusi yang saya diminta untuk meluluskan," kata Najib.
Pada 30 Okt, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah memerintahkan Najib membela diri atas kesemua 25 pertuduhan, memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie terhadapnya pada akhir kesnya.
Perbicaraan bersambung esok.
-- BERNAMA