Saya sebut nama Deepak kerana ada gambar - Mohamed Azmin

Bernama
Mei 17, 2024 19:16 MYT
Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ketika hadir ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini beliau menyebut nama Deepak Jaikishan dalam ucapannya semasa perhimpunan 'Ceramah Perdana: Solidariti Menentang Kezaliman' tahun lepas kerana terdapat foto ahli perniagaan itu bersama-sama seorang menteri dalam pesawat.
"Saya ingin mempertahankan jawapan saya, apabila saya cakap 'Deepak, apakah peranan Deepak?' ia adalah satu persoalan. Ini setelah gambar tersebut tersebar luas ke seluruh negara.
"Tiada penafian daripada Menteri dan Deepak. Dalam gambar kelihatan dalam satu pesawat, duduk bersebelahan dan dalam satu 'buggy' yang sama... sukar nak percaya ini adalah kebetulan," katanya semasa pemeriksaan semula oleh peguam Muhammad Nizamuddin Abdul Hamid, yang mewakili beliau.
Gunaseelan: Adakah sebab kamu nak tunjuk Deepak terlibat dalam pengimportan telur?
Mohamed Azmin: Saya bertanya, bukan saya nak libatkan. Secara jelas saya nyatakan di sini saya inginkan penjelasan.
Gunaseelan: Kalau kamu inginkan penjelasan mengenai pengimportan telur, kamu boleh membuat persoalan tanpa menyebut nama Deepak. Kenapa kamu sebut nama Deepak?
Mohamed Azmin: Yang Berhormat Menteri di Parlimen telah sahkan hanya satu syarikat yang diberi hak import telur ayam. Persoalan yang saya bangkitkan adalah kenapa ada gambar Deepak bersama Menteri dalam pesawat dan 'buggy' yang sama dalam perjalanan ke India.
"Saya persoalkan proses untuk memperoleh telur ayam dari India. Saya tidak peduli syarikat mana yang dapat tetapi saya persoalkan proses itu tidak telus dan bukan secara (tender) terbuka," kata Mohamed Azmin.
Syarikat itu mendakwa Mohamed Azmin telah membuat dan menerbitkan ucapan memfitnah syarikat berkenaan dalam 'Ceramah Perdana: Solidariti Menentang Kezaliman' di Taman Melewar di sini pada 11 Mac 2023 dan kenyataan beliau telah diterbitkan semula oleh media cetak dan elektronik termasuk YouTube.
Syarikat itu mendakwa kenyataan tersebut tidak benar dan melampau kerana ia tidak pernah terlibat atau mempunyai kaitan dengan apa-apa rundingan terus dengan Kerajaan Malaysia.
-- BERNAMA
#Azmin Ali #Deepak Jaikishan #Mahkamah Tinggi
;