'Saya sayang Sabah, Malaysia' - Kibaran ratusan bendera tarik perhatian penduduk Beaufort

Assim Hassan
Ogos 31, 2020 11:22 MYT
MOHD ARIFF: Setiap tahun saya gantung bendera Malaysia dan Sabah di setiap pelusuk rumah kami. Saya sayang Sabah dan Malaysia. -Astro AWANI
Penduduk di Beaufort, Kuala Penyu, Sipitang dan Menumbok yang melalui jambatan Sungai Padas, Beaufort pasti akan terpegun dengan kibaran ratusan Jalur Gemilang dan bendera Sabah dari sebuah rumah di tepi jambatan itu.
Cukup mengujakan semangat tuan rumah yang sanggup mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Sabah di setiap pelusuk dinding luar, pintu, pagar dan halaman rumah.
Bagi tuan rumah Mohd Ariff Abdullah, 53 tahun, bila tibanya bulan Julai, dia sudah siap siaga untuk ke hutan mencari kayu untuk dibuat tiang bendera.
Kayu tinggi itu kata Mohd Ariff akan dipikul sendiri dan dibawa ke rumah sebelum dibersihkan.
"Setiap tahun saya gantung bendera Malaysia dan Sabah di setiap pelusuk rumah kami. Saya sayang Sabah dan Malaysia.
"Petuanya, tiang bendera perlu tinggi supaya tersergam cantik berkibar apabila ditiup angin," katanya ketika ditemui Astro AWANI baru-baru ini.
Kemeriahan dan kemegahan Jalur Gemilang dan bendera Sabah itu akan mula dipasang pada 31 Julai setiap tahun.
Apa yang menarik, Mohd Ariff yang dibantu isterinya akan memasang bendera itu pada waktu malam sebelum 1 Ogos setiap tahun.
"Saya tidak pernah memasang (bendera) pada waktu siang kerana saya bekerja. Selepas pulang bekerja tempat jam 6 petang 31 Julai, saya sudah bersedia untuk memasang bendera-bendera ini."
"Begitu juga pada 16 September, saya akan membuka semula bendera-bendera ini dan menyimpannya.
"Hanya dua sahaja itu Jalur Gemilang dan bendera saya saya tinggalkan di pintu masuk simpang rumah," katanya.
Ditanya mengenai semangat cintakan negara yang ada dalam dirinya, Mohd Ariff menjelaskan semangat itu memang sudah tertanam sejak berusia 14 tahun lalu kerana selalu menonton tayangan mengenai sejarah kemerdekaan di televisyen.
"Walaupun ada beberapa pihak yang mahu melaung-laungkan sentimen Sabah keluar Malaysia tetapi saya tidak peduli. Saya terus mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Sabah.
"Sabah tetap Sabah dan Malaysia tetap Malaysia," tegasnya.
#Beaufort #Hari Merdeka #Jalur Gemilang #kibar bendera #Merdeka #Mohd Ariff Abdullah #Sabah
;