'Saya sanggup tidur di kaki lima, itu janji cinta saya kepada suami'
Syah Hairizal Kamalul Arifin
Mei 19, 2017 10:17 MYT
Mei 19, 2017 10:17 MYT
"Saya sanggup tidur di kaki lima ini kerana janji saya kepada suami.
"Walau seteruk mana kesusahan, walau semiskin dan sehina mana suami saya, selagi dia adalah suami saya, saya tempuhi demi janji saya.
"Biarpun perit untuk diterima tapi saya yakin mungkin belum sampai waktunya untuk kami menikmati sedikit rasa bahagia dan senang," ujar Liza (bukan nama sebenar) ketika ditemui di Jalan Tunku Abdul Rahman.
Menurut Liza seorang gelandangan di ibu kota, janji cinta setia itu dilafazkannya ketika menerima lamaran suaminya Husin (bukan nama sebenar) 8 tahun lalu.
Pasangan yang telah menjadikan kaki lima sebagai sebahagian potret hidup sejak 2 tahun lalu dikurniakan dua orang cahaya mata.
Puteri sulung mereka yang sentiasa girang ketika ditanya sebarang soalan kini berusia 6 tahun manakala putera mereka baru berusia setahun 7 bulan.
Penulis sempat menanyakan soalan kepada "si peramah" kecil molek yang ketika itu sedang menulis sesuatu di atas serpihan kotak lusuh yang ditinggalkan gelandangan.
"Adik lukis apa?" sapaku.
"Cikgu suruh lukis rumah, esok cikgu nak tengok," jawab intan (bukan nama sebenar dengan girang tanpa menoleh sedikit pun kerana asyik dengan kreativinya).
Jauh di sudut hati penulis, tahukah anak kecil ini bagaimana suasana sekolah sebenarnya sedangkan menurut bapanya hanya kanak-kanak kaki lima menjadi rakan penghibur si kecil itu lebih 2 tahun lalu.
"Pernah satu ketika kami benar-benar tidak mempunyai wang untuk membayar sewa bilik.
"Di kaki lima inilah saya bawa isteri dan anak-anak tidur," ujar Husin yang sedikit sayu.
"Perkara pertama saya buat ketika mencelikkan mata selepas tidur ketika itu adalah untuk melihat isteri dan anak-anak saya.
"Saya bersyukur sangat-sangat kerana isteri saya masih dengan janjinya itu dan anak-anak saya sedikit pun tidak menangis kerana ketidakselasaan beratapkan langit malam itu," ujarnya lagi.
Luluh hati penulis melihat mahkota ketabahan yang diberi pada insan-insan ini.
"Kenapa masyarakat perlu berterusan menghukum saya Bang?" soal Husin kepada saya.
Cerita lanjut kisah pasangan ini akan dapat anda saksikan dalam program Syah Kaki Lima - episod lapan berjudul 'Dilema Gelandangan Berkeluarga' Sabtu, 11:15 pagi di saluran 501 Astro AWANI dan di astroawani.com.
Saksikan juga episod-episod menarik 'Syah Kaki Lima' sebelum ini di laman astroawani.com