Saya rindu ucapan selamat hari lahir daripada ibu saya - Ebit Lew

Israr Khalid
Mac 4, 2021 17:23 MYT
Kata Ebit, ketika tiada orang yang peduli, ibunya sahaja yang mengucapkan selamat hari lahir kepadanya. - Gambar Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Tiada kurniaan yang lebih berharga dalam kehidupan di dunia ini selain ibu kita. Mungkin ramai yang tidak menyedarinya sehinggalah tiba suatu hari insan itu pergi buat selama-lamanya.
Sejujurnya, luah pendakwah bebas, Ebit Lew, bahawa dia tidak akan berada pada kedudukan hari ini dengan kesenangan dan kesejahteraan perjalanan hidupnya jika tidak kerana doa ibunya.
Ibulah yang selalu memberi semangat untuk Ebit terus teguh di jalan yang benar ketika beliau berasa kecewa dengan dunia.
“Dia akan selalu cakap, 'Tak apalah nak, biar orang buat pada kita jangan kita buat pada orang. Kan Allah tahu, Dia nampak. Nanti Dia bagi pahala'.”
Hari ini, Ebit Lew dikenali dengan kejayaan perusahaannya, terkenal dengan kerja-kerja amal baktinya, malah diangkat sebagai Tokoh Maal Hijrah 2020. Namun katanya, alangkah indahnya jika semua ini dapat dilihat dan dikongsi dengan ibunya.
Imbas Ebit, semasa ibunya masih hidup, dia yang akan selalu menghubungi ibunya apabila tiba hari ulang tahun kelahirannnya pada 21 Disember. Ketika tiada sesiapapun yang peduli, ibunya sahaja yang mengucapkan selamat hari lahir kepadanya.
“Selalu kalau cuti sekolah pada November dan Disember, saya akan berada jauh (mengikut kumpulan amal dan dakwah). Jadi saya akan ‘call’ mak saya, dan dia akan cakap 'Ebit, selamat hari lahir. Mak sayang Ebit'.
“Sekarang dia sudah tiada, dan saya rindu suara itu.”
Walaupun tiada lagi ucapan hari lahir yang cukup bermakna itu, dia menyedari bahawa doa ibunya tidak pernah hilang daripada terus mengiringi setiap langkahnya di jalan kebenaran. Malah katanya, hampir setiap tahun tibanya hari lahirnya, pasti ada sahaja rezeki besar yang tiba.
Jujur dia mengakui, terkadang ada ketika yang dia hilang semangat untuk terus berjuang dan berasa lebih baik menjalani kehidupan bersama anak isteri di rumah atau di mana-mana sahaja dengan kesenangan yang dimiliknya hari ini. Namun, semangat ibunyalah yang terus menggerakkan jiwa dan raga Ebit untuk tetap berbakti.
“Jadi saya cakap 'Ya Allah, kalau ada pahala untuk apa sahaja yang saya buat hari ini, saya nak hadiahkan buat mak saya. Apa orang nak cakap takkan memberhentikan saya, insya-Allah, daripada apa yang saya buat.
“Dialah hadiah paling mahal daripada segala wang ringgit segala harta dalam dunia.”
Ibu penggerak langkah Ebit Lew
#Agenda Awani #Ebit Lew #ibu #doa #pendakwah bebas #kebajikan #kasih ibu #doa ibu #keluarga #pencetus semangat
;