Saya perlukan tujuh peguam mewakili saya - Suspek kes tembak di KLIA

Sinar Harian
April 16, 2024 13:19 MYT
Suspek kes tembak di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 dibawa ke Mahkamah Majistret 3 Kota Bharu hari ini bagi prosiding permohonan reman. -- fotoBERNAMA
KOTA BHARU: “Saya perlukan tujuh orang peguam untuk mewakili saya”.
Itu kata suspek kes tembakan di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, Sepang, Selangor selepas dikenakan perintah tahanan reman selama tujuh hari di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.
Perintah reman terhadap suspek berusia 38 tahun terbabit dibuat di hadapan Majistret, Rais Imran Hamid.
Suspek direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960.
Tempoh remannya berkuat kuasa mulai 16 hingga 22 April ini.
Turut dikenakan perintah reman bagi membantu siasatan Peraturan 25(1)(o) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara (PPPN) 1990 (memiliki kad pengenalan individu lain) dan Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (menggunakan nombor plat kenderaan palsu).
Sebelum itu, suspek yang berbaju lokap berwarna ungu dibawa dengan menggunakan kenderaan black maria dan tiba di pekarangan mahkamah pada jam 8.25 pagi.
Suspek dikawal ketat sepasukan polis dari Cawangan D9 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan.
Dia kemudian sekali lagi diiringi pihak polis keluar meninggalkan pekarangan mahkamah terbabit pada jam 9.45 pagi selepas selesai proses mengambil reman.
[TERKINI] 'Saya perlukan tujuh peguam mewakili saya' - Suspek kes tembak di KLIA
Sebelum itu, lelaki terbabit ditahan pada jam 3 petang di Jalan Bayam, di sini, di hadapan sebuah hospital swasta kira-kira 300 meter dari IPK Kelantan pada Isnin.
Difahamkan, berlaku pergelutan dalam proses penahanan itu dan sepucuk pistol jenis Glock 19 Austria berisi sebutir peluru hidup turut ditemukan.
Dalam kejadian 1.30 pagi, Ahad itu, seorang pengawal peribadi kepada isteri suspek, cedera parah apabila tembakan dilepaskan mengenai perut mangsa.
Isteri suspek yang menjadi sasaran sebenar bagaimanapun terselamat dalam kejadian itu. - Sinar Harian
#reman #tembakan #KLIA #kes tembak di KLIA
;