Saya percaya ADUN Kota Sentosa ini keliru - Abang Johari
Astro Awani
November 13, 2020 17:23 MYT
November 13, 2020 17:23 MYT
KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menyelar kenyataan Chong Chieng Jen (DAP-Kota Sentosa) yang dianggap tiada ketetapan berhubung peruntukan Belanjawan Sarawak 2021.
Ini kerana kata Abang Johari, Pengerusi DAP Sarawak itu pernah mengkritik kerajaan negeri bersifat boros tetapi dalam masa sama beliau menuntut perbelanjaan tambahan RM1 bilion pada Belanjawan negeri 2021.
"Saya percaya Ahli Yang Berhomat Kota Sentosa ini keliru apa yang dia mahukan... Dia tiada ketetapan tentang apa dia mahu.
"Apakah dia ingin kerajaan negeri meningkatkan atau mengurangkan perbelanjaan? Saya bingung dengan kenyataan bertentangan Ahli Yang Berhormat untuk Kota Sentosa. Ini jelas menunjukkan bahawa niatnya hanyalah untuk mengkritik Kerajaan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ucapan penggulungan Belanjawan Sarawak 2021 di Persidangan Dewan Undangan Negeri pada Jumaat.
Pada 9 November lalu, Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengumumkan Belanjawan Sarawak 2021 bernilai RM9.832 bilion dengan jangkaan menghasilkan lebihan RM180 juta.
Ini memandangkan anggaran pendapatan negeri untuk tahun 2021 berjumlah RM10.012 bilion.
#Belanjawan Sarawak 2021
#Belanjawan Sarawak
#Abang Johari Tun Openg
#Sarawak maju
#Pengerusi DAP Sarawak
#Chong Chieng Jen