'Saya pencuri hati rakyat' - Najib jawab sindiran Azmin
Madiha Abdullah
Februari 13, 2019 23:50 MYT
Februari 13, 2019 23:50 MYT
"Saya pencuri hati rakyat."
Itu komen bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, ketika ditanya tentang kenyataan Datuk Seri Azmin Ali yang menyifatkan gelaran 'bossku' sepatutnya ditukar kepada 'pencuriku'.
Beliau menganggap kehadiran begitu ramai penyokong sewaktu lawatan santainya ke Tesco Semenyih, pada Rabu, sebagai satu petanda positif untuk UMNO dan Barisan Nasional.
Kata Najib, kehadiran beliau adalah memenuhi permintaan kepimpinan kawasan itu, namun tidak menyangka diberi sambutan sehebat itu.
"Ini satu situasi di luar jangkaan, ia menunjukkan rakyat mahu dekat dengan saya sebagai pemimpin.
"Mudah-mudahan ia diterjemahkan dalam bentuk sokongan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih nanti," ujarnya sambil memaklumkan sedia turun membantu kempen pilihanraya kecil itu jika diundang.
Kehadiran Najib di Tesco Semenyih pada jam 8.30 malam disambut kira-kira 100 pengunjung, namun jumlah tersebut semakin bertambah, menyebabkan berlakunya sedikit kekecohan dan tolak menolak.
Selain beramah mesra dengan pengunjung, Najib turut membuat pembelian barangan dapur, antaranya minyak, cili dan sotong.