'Saya peluk anak, azan sekuat hati'
Sinar Harian
April 15, 2021 14:30 MYT
April 15, 2021 14:30 MYT
IPOH: Dugaan Ramadan. Itulah yang dapat digambarkan terhadap kejadian ribut membabitkan kira-kira 105 rumah di Kampung Tasek, di sini pada Rabu.
Seorang mangsa, Shahrul Hisham Saharin, 49, berkata, kejadian tersebut berlaku kira-kira jam 3 petang ketika dia bersama anak-anak sedang berehat di rumah, lapor Sinar Harian.
Menurutnya, ketika itu angin kuat berserta hujan lebat menyebabkan bumbung rumah tercabut dan sebahagian dinding juga jatuh.
"Selepas bumbung tercabut, saya peluk kuat-kuat isteri dan anak-anak dalam keadaan lencun sambil azan sekuat hati. Ketika itu saya berserah kepada ALLAH apa akan jadi pada kami.
"Saya anggap apa yang berlaku ini sebagai dugaan Ramadan buat kami sekeluarga. Syukurlah kami semua selamat cuma rumah sahaja rosak teruk," katanya kepada pemberita selepas ditemui di rumahnya di Kampung Tasek, di sini pada Khamis.
Jelasnya, ketika kejadian tiada barang-barang yang dapat diselamatkan kerana ketika itu dia lebih bimbangkan keselamatan empat anak perempuan termasuk seorang kurang upaya.
Katanya, selepas keadaan reda, anak kurang upaya itu diangkat masuk ke dalam kereta manakala yang lain duduk di bahagian parkir sementara menunggu bantuan.
Shahrul Hisyam berkata, buat sementara waktu, mereka sekeluarga tinggal di inap desa berhampiran sehingga rumah tersebut dibaiki.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kula Segaran yang turut meninjau kawasan bencana ribut itu berkata, pihaknya akan melihat keperluan penduduk untuk disalurkan kepada agensi berkaitan.
Menurutnya, sehingga kini satu pusat pemindahan sementara dibuka di Dewan Orang Ramai Kampung Tasek bagi menempatkan mangsa yang terjejas teruk.
"Bencana yang menimpa penduduk sangat teruk malah kita difahamkan ini merupakan kejadian pertama ribut paling buruk dihadapi mereka. Malah kita juga dimaklumkan ada penduduk yang cedera kerana terkena renjatan elektrik ketika mengalihkan zink rumah yang diterbangkan angin dan mangsa kini berada di hospital menerima rawatan.
"Kita amat bersimpati dengan apa yang berlaku dan berharap bantuan segera dapat diberikan kepada penduduk oleh agensi berkaitan," katanya.
Kula Segaran berkata, pihaknya juga akan membuka kaunter bergerak sementara di kampung tersebut bagi membolehkan penduduk membuat sebarang aduan dan masalah berkaitan bencana itu.