'Saya pelawa Human Rights Watch berjumpa saya' - Saifuddin
Astro Awani
Mac 8, 2024 16:47 MYT
Mac 8, 2024 16:47 MYT
Kuala Lumpur: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution mempelawa Human Rights Watch (HRW) untuk mengadakan pertemuan bagi membincangkan isu tahanan depot imigresen susulan laporan yang mendakwa Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak mendapat layanan baik, rawatan dan bekalan makanan yang mencukupi.
"Saya mempelawa mereka untuk berjumpa dan menyerahkan laporan kepada saya. Jika mereka bersetuju, saya terbuka untuk bertemu," kata Saifuddin.
Saifuddin menggesa HRW untuk menyediakan bukti laporan yang mendakwa ada tahanan yang didera dan maut.
Katanya, susulan laporan (HRW), Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara telah mengusulkan satu pertemuan dengan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Ruslin Jusoh untuk berbincang pada Khamis.
Saifuddin berkata, HRW memilih untuk tidak mengendahkan inisiatif pihaknya yang dipertanggunjawabkan untuk menjaga kanak-kanak berkenaan.
"Apabila serbuan dibuat ke atas pendatang asing, ibu bapa akan lari tinggalkan anak-anak mereka. Jadi, kita akan asingkan mereka (kanak-kanak) terlebih dahulu.
"Pada masa yang sama, apabila laporan (HRW) ini dibuat dan mendapat liputan besar terutamanya membabitkan kematian, saya mempelawa HRW untuk berikan angka-angka tepat. Itu saya akan tunggu untuk mereka kemukan," tambahnya.
Katanya lagi, tanpa angka yang tepat, laporan itu hanya lah sekadar sebuah khabar angin dan jika benar ia tidak sahih, mereka (KDN) tidak boleh boleh mengambil apa apa tindakan.
"Saya akan bersangka baik kepada mereka untuk berjumpa, saya juga sedia untuk mendengar. Apabila saya sudah kumpulkan bukti yang mereka keluarkan, saya sendiri akan mulakan siasatan melibatkan badan-badan yang berkredibiliti untuk turut membantu demi kebenaran," kata Saiduddin.
Siasatan segera akan dilakukan kerana isu ini adalah isu hak asasi yang merangkumi semua manusia bernyawa dan bukan sahaja untuk warganegara Malaysia mahu pun warga asing, tambahnya.
Terdahulu, laporan yang dikeluarkan HRW mendakwa tahanan depot imigresen di negara ini tidak dilayan dengan berperikemanusiaan.
Ini termasuk penderaan,kematian, penahanan untuk tempoh yang lama, kanak-kanak dan wanita diberikan layanan yang buruk dan juga fasiliti serta makanan dan ubat-ubatan yang kurang memuaskan.