‘Saya paling tak toleransi orang tanam kebencian kaum’ - PM
Hasimi Muhamad
November 1, 2024 14:15 MYT
November 1, 2024 14:15 MYT
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan bertoleransi dengan mana-mana pihak yang menanam kebencian kaum dan bibit-bibit rasisme di negara ini.
Mengambil contoh kezaliman yang berlaku di Gaza, Perdana Menteri berkata antara puncanya adalah kerana sentimen kaum dan kebencian terhadap Islam serta Arab telah disebarkan secara keterlaluan.
“Masalah yang berlaku (di Gaza) itu kemanusiaan. Sebab itu untuk ada kaitan dengan Malaysia, saya paling tidak toleransi dengan orang yang tanam kebencian kaum dan semua bibit rasisme di Malaysia.
“Bibit itu ada… kita (hanya) akan bekerjasama dengan mata macam kita, bukan mata macam sepet dan warna kulit kita, bukan warna kulit gelap. Apa dia ini? Apakah orang Islam mengizinkan penghinaan kerana warna kulit?,” kata Perdana Menteri pada Jumaat.
Beliau berkata demikian dalam Program Temu Anwar yang berlangsung di Universiti Pertananan Nasional Malaysia (UPNM), Sungai Besi di sini.