'Saya mohon maaf' - Zakir Naik akui tiada niat sakiti hati masyarakat bukan Islam

Afiezy Azaman
Ogos 20, 2019 10:10 MYT
Dr Zakir Naik memohon maaf kepada pihak yang tersinggung dengan kenyataan kontroversinya baru-baru ini. -Gambar fail
Pendakwah terkenal Dr Zakir Naik memohon maaf kepada pihak yang tersinggung dengan kenyataan kontroversinya baru-baru ini.
Dalam kenyataannya pagi ini, beliau berkata tidak mempunyai niat untuk menyinggung perasaan mana-mana individu atau masyarakat yang sememangnya bertentangan dengan prinsip Islam.
“Walaupun saya telah menjelaskan perkara sebenar, namun saya rasa saya perlu meminta maaf kepada mereka yang tersinggung kerana salah faham ini.
“Saya tidak mahu mana-mana pihak menyimpan perasaan sakit hati terhadap saya dan bukan niat saya menganggu sesiapa. Jadi saya memohon maaf atas salah faham ini,” katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.
Mengulas lanjut, Zakir juga memohon agar semua pihak mendengar kembali ucapannya secara keseluruhan di laman media sosial yang disediakan.
“Saya dengan rasa rendah diri memohon kepada anda semua, terutamanya kepada yang bukan Islam, untuk meluangkan masa mendengar kembali syarahan saya secara keseluruhan.
“Akhir sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka yang telah menyokong saya semoga Allah SWT membalas jasa anda semua dengan baik,” jelasnya.
BACA: Dr Zakir Naik dilarang berceramah di seluruh negara
Beliau turut menyatakan misinya adalah untuk menyebarkan kedamaian di seluruh dunia dan menjadi orang yang membawa keamanan seperti yang disebut di dalam Al-Quran.
“Malangnya, pengkritik saya cuba menghalang saya daripada menjalankan misi saya.
"Seperti yang anda perhatikan kebelakangan ini, saya dituduh menyebabkan masalah perkauman di negara ini dan mereka (pengkritik) menggunakan ayat terpilih daripada keseluruhan konteks syarahan saya.
“Saya telah memberikan penjelasan kepada pihak polis, namun saya sedih kerana orang bukan Islam beranggapan saya seorang yang rasis.
“Saya juga sedih kerana mereka yang berasa tersinggung dengan syarahan saya tidak mendengar ucapan saya secara keseluruhan, sebaliknya hanya membaca petikan di luar konteks,” katanya.
Tambah Zakir, beliau bimbang kerana perkara itu membawa imej bahaya kepada Islam dan memaksa masyarakat menjauhi agama itu.
“Rasisme adalah kejahatan yang saya tegaskan seperti di dalam Al-Quran dan ia bertentangan dengan pendirian saya sebagai pendakwah Islam,” ujarnya.
#Al-Quran #kedamaian #Maaf #media sosial #menyinggung #misi #pendakwah #racist #syarahan #Zakir Naik
;