Saya minta maaf, tiada lesen sabung ayam dikeluarkan untuk perayaan Gawai - Abang Johari

Fadilah Sulaiman
Mei 19, 2021 18:31 MYT
Katanya, langkah itu diambil bagi mengelak risiko jangkitan COVID-19 dalam kalangan komuniti. - Foto fail Bernama.
BINTULU: Kerajaan Sarawak memutuskan tiada lesen sabung ayam dikeluarkan ketika musim perayaan Hari Gawai Dayak di negeri itu tahun ini.
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, beliau telah mengarahkan Setiausaha Kerajaan Negeri dan residen untuk tidak mengeluarkan lesen itu.
Katanya, langkah itu diambil bagi mengelak risiko jangkitan COVID-19 dalam kalangan komuniti.
"Saya minta maaf, saya telah mengarahkan Setiausaha Kerajaan Negeri dan juga residen untuk tidak mengeluarkan lesen sabung ayam.
"Kita mohon supaya Gawai ini kita berjaga-jaga.. ia terpulang kepada kita kerana kita masih meraikan Hari Gawai untuk seterusnya, tetapi jika berdepan situasi sukar terkena jangkitan, maka kita mungkin sukar untuk menyambutnya pada masa akan datang,” katanya pada sidang media selepas menghadiri taklimat perkembangan COVID-19 di Bintulu pada Rabu.
Untuk rekod, aktiviti sabung ayam sinonim dengan masyarakat Dayak ketika perayaan Gawai selain aktiviti lazim seperti ‘ngabang’, minum tuak dan juga upacara Miring.
Selain itu, beliau memohon agar rakyat terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan terutama ketika perayaan.
“Saya minta kerjasama ketua kaum, tuai rumah supaya apabila masanya tiba utk Gawai kita melaksanakan langkah SOP supaya ia tidak menularkan jangkitan ketika perayaan.
“Biarlah kita berdisiplin pada Gawai ini, mungkin kita boleh meraikannya tahun depan bila COVID-19 sudah tiada lagi,” tegasnya.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dijangka mengeluarkan SOP sempena Gawai dalam masa terdekat.
#Perayaan Gawai #Sarawak #Lesen sambung ayam #Abang Johari Tun Openg #COVID-19 #kluster komuniti
;