"Saya menyesal kerana telah menyusahkan keluarga dan rakan-rakan" - Anak Mukhriz minta maaf
Astro Awani
Ogos 29, 2020 09:24 MYT
Ogos 29, 2020 09:24 MYT
Anak Datuk Seri Mukhriz Mahathir memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sehingga menyebabkan dia ditangkap dan didenda oleh polis minggu lalu.
Dalam masa sama, Meera Alyanna turut menyatakan kekesalannya serta malu terhadap perbuatannya yang dianggap sebagai tidak bertanggungjawab ketika seluruh rakyat Malaysia masih lagi resah dengan penularan pandemik COVID-19.
Meera Alyanna atau lebih dikenali sebagai Ally mengakui, dia tidak sewajarnya berada di tempat berkenaan selepas pukul 12 tengah malam semasa pihak berkuasa melaksanakan PKPP.
Dalam catatan di akaun Instagram peribadinya malam tadi, anak kepada bekas Menteri Besar Kedah itu menulis panjang lebar permohonan maaf selain menceritakan kejadian yang berlaku.
"Selama seminggu yang lalu, saya bermuhasabah mengenai akibat daripada tindakan saya, dan saya sangat menyesal. Melanggar had jam malam 12 malam bukan sahaja tidak cerdik di pihak saya, tetapi sama sekali tidak bertanggungjawab mengambil kira wabak yang sedang kita lalui.
"Saya sangat malu dengan apa yang saya lakukan terhadap keluarga saya, rakan-rakan saya dan anda semua.
"Tidak ada alasan apa pun (yang dapat mewajarkan) tindakan saya, dan anda berhak untuk kecewa, tetapi ia tidak melebihi kekecewaan yang saya tanggung untuk diri saya sendiri," kata cucu kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu lagi.
Berkongsi cerita di malam kejadian, Ally, 25, berkata, dia dan suami, Ezran Daud Cheah berada di sebuah pusat hiburan, Salute untuk meraikan ulang tahun kelahiran sahabatnya.
“Semasa di Salute, sekitar pukul 1.30 pagi, polis memasuki premis dan kami ditahan kerana melanggar peraturan PKPP.
“Di balai polis, saya bersama 29 yang lain diambil keterangan. Kira-kira pukul 5.30 pagi, kesemua kami telah dikenakan denda RM1,000 seorang dan dibenarkan pulang.
“Setakat hari Selasa, 25 Ogos, kami suami isteri telah melunaskan denda yang telah dikenakan itu,” tulis Ally lagi.
Dalam hantaran yang sama, Ally bercerita bagaimana pegawai polis yang menjalankan tugas sangat sopan dan adil terhadap semua orang pada malam itu.
“Saya sangat menghormati profesionalisme mereka," kata Ally merakamkan penghargaan kepada pegawai polis bertugas.
Pada Khamis, Mukhriz yang juga Ahli Parlimen Jerlun dilaporkan kecewa dan terkilan kerana anak dan menantunya itu melakukan kesalahan melanggar PKPP.
Kata Mukhriz, nasihat juga telah diberikan kepada ahli keluarganya supaya tidak melanggar prosedur operasi standard (SOP) PKPP.
“Saya sudah pesan kepada semua keluarga saya juga... musim PKPP ini, janganlah langgar (prosedur operasi standard) kerana kita mesti tunjuk contoh yang baik... dan itu sebabnya saya memang kecewa kerana pelanggaran tetap berlaku juga.
“Tetapi kita sudah beri teguran dan memang patut dia kena kompaun oleh pihak polis,” tegas Mukhriz lagi.
#Ally
#anak Mukhriz Mahathir
#didenda
#ditangkap
#Mahathir Mohamad
#Meera Alyanna
#Mukhriz Mahathir
#Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan
#polis
#pusat hiburan