"Saya mengaku terima cek peribadi daripada Najib" - Ibrahim Ali
Astro Awani
Mei 11, 2021 13:28 MYT
Mei 11, 2021 13:28 MYT
KUALA LUMPUR: Datuk Ibrahim Ali hari ini membuat pengakuan pernah menerima sekeping cek peribadi daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Bagaimanapun, Presiden Putra itu menjelaskan, beliau tidak sedar sama ada sumbangan yang diterima beliau itu berkait dengan wang SRC International Sdn Bhd mahupun 1Malaysia Development Bhd (1MDB) kerana tidak tertera nama keduanya di cek berkenaan.
Menurut Ibrahim, beliau juga tidak ingat bila cek berkenaan diterimanya, namun, apa yang pasti perkara itu berlaku sebelum isu 1MDB terbongkar selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).
Ibrahim turut menegaskan, sekiranya skandal 1MDB awal-awal lagi terbongkar, beliau sendiri sudah pasti enggan menerimanya selain Najib juga tidak akan menggunakan lagi akaun tersebut.
"Ingin saya jelaskan disini bahawa saya adalah Ahli Parlimen Bebas sepanjang lima tahun dari 2008 hingga 2013 setelah menang PRU12 atas tiket Pas. Sepanjang lima tahun itu, saya adalah sebagai Ahli Parlimen Bebas 'friendly BN'.
"Sebagai Ahli Parlimen Bebas saya tidak mempunyai peruntukan untuk mengadakan program-program rakyat di kawasan saya.
"Apa lagi menuju PRU13 perlu banyak adakan pelbagai bantuan kepada rakyat Pasir Mas yang mana saya perlu mencari dana daripada pihak-pihak yang sudi menyumbang. Jika terdesak, saya gunakan kad kredit sehingga maksima hadnya," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
BACA: Najib, Jho Low antara yang disaman 1MDB, SRC untuk tuntutan kembali aset bernilai RM96.6 bilion
Jumaat lalu, 1MDB dan bekas anak syarikatnya SRC International Sdn Bhd memfailkan saman sivil terhadap beberapa personaliti yang didakwa menipu firma milik negara itu.
Mereka juga menyaman entiti yang mungkin tidak melakukan penipuan tetapi terlibat dalam proses itu - secara sedar atau tidak.
Antara yang dinamakan termasuk Najib, bekas Pengerusi 1MDB, Che Lodin Wok Kamaruddin dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi, Mohd Hazem Abdul Rahman dan Arul Kanda Kandasamy.
Beberapa anggota keluarga Jho Low juga dinamakan, termasuk ayahnya Larry Low Hock Peng dan kakaknya Low May Lin.
Ibrahim dinamakan dalam saman anak syarikat SRC - GMSB and JPSB - yang mendakwa terdapat 14 pihak menerima wang SRC, termasuk Najib dan UMNO Selangor.
Dalam pada itu, Ibrahim mengakui, ada berjumpa dengan Najib selepas PRU13 untuk meminta bantuan menyelesaikan masalah kewangan yang telah banyak dibelanjakan sepanjang lima tahun termasuk ketika bertanding pada pilihan raya.
"Apa lagi saya adalah calon 'friendly BN' yang mana calon BN (UMNO) menarik diri secara tidak langsung mengizinkan saya bertanding satu lawan satu dengan calon Pas.
"Beliau bersetuju membantu, pada fikiran saya kerana saya Ahli Parlimen Bebas 'friendly BN' sebelum itu. Saya tidak ambil tahu dana mana dia ambil bantu saya. Mungkin dari tabung UMNO atau BN. Atau wang personalnya.
"Mengapa perlu saya menolak bantuan yang beliau berikan dan sudah tentu saya tidak menyoal punca duit itu datang dari mana memandangkan Najib telah lama dalam Kabinet sejak usianya 20-an lagi, sudah tentu jumlah itu dalam kemampuannya," ujarnya.
Jelas Ibrahim, semua sumbangan itu juga telah dibelanjakan dan tidak perlu dihuraikan sekarang.
Tegasnya, ia dihabiskan untuk membiayai perbelanjaan program-program rakyat di Pasir Mas dan langsung tidak digunakan untuk perbelanjaan peribadi.
"Untuk rekod, saya selaku Presiden Perkasa adalah pihak terawal mendesak agar kerajaan wujudkan Suruhanjaya Diraja untuk siasat skandal 1MDB pada program Sidang Meja Bulat Perkasa: Isu 1MDB dalam tahun 2014 di Kelab Sultan Sulaiman.
"Kenyataan menggesa mewujudkan Suruhanjaya tersebut juga sekali lagi dibuat bersama-sama dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika Perkasa mengadakan kunjungan hormat ke atas pimpinan tertinggi parti itu pada awal tahun 2015," jelasnya.
Ibrahim turut mengakui sedia menunggu saman tersebut dan bersedia menjawab di mahkamah.
"Biarkanlah mahkamah tentukan saya wajar memulangkan semula atau tidak kerana saya telah membelanjakan semuanya ketika saya tidak mengetahui sama sekali duit itu dari sumber salah.
"Selepas ini saya hanya akan mewakilan peguam saya untuk membuat sebarang kenyataan berkaitan isu saman tersebut. Saya sedia memberi kerjasama dengan pihak berkuasa jika dipanggil untuk apa-apa siasatan kerana saya tidak mahu terpalit dengan sebarang skandal negara.
"Bagaimanapun ianya adalah tindakan saman sivil, maka saya menunggu sahaja bila akan disaman," katanya.
#Najib Razak
#Ibrahim Ali
#UMNO
#1MDB
#PERKASA
#SRC International
#PAS
#calon
#kabinet
#PRU13
#Parlimen