'Saya menangis macam budak-budak di New York, depan Mat Saleh' - KP SPRM

Astro Awani
Mei 22, 2018 15:29 MYT
Mohd Shukri terkesan apabila usahanya mendedahkan skandal 1MDB menyebabkan dia dituduh pembelot. - Foto Astro AWANI/SHAHIR OMAR
Diekori, dijejak hingga ke luar negara dan diugut.
Terasa seperti menyaksikan babak dalam filem aksi. Namun, itulah yang berlaku kepada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Mohd Shukri Abdull, apabila meletakkan tekad menyiasat dan mendedahkan skandal SRC International Sdn Bhd.
Memilih untuk meluahkan semua yang selama ini dipendam dalam satu sidang media pagi tadi, Mohd Shukri tidak dapat menahan sebak apabila mengimbas kembali betapa berliku jalan yang perlu ditempuhi hanya kerana memilih untuk jujur dalam melaksanakan tugas.
"Saya dan Tan Sri Abu Kassim berjuang bersungguh-sungguh untuk menyiasat dan dapatkan balik wang rakyat yang dicuri. Tetapi kesudahannya, kami dituduh pembelot.
"Saya terpaksa melarikan diri ke Washington, Amerika Syarikat. Sampai di sana pun ada orang ekori saya, memaksa saya lari ke New York pula.
"Bayangkan, saya menangis macam budak-budak di New York, di depan Mat Saleh di sana. Saya terlalu sedih kerana sayangkan SPRM, saya rasa sangat bersalah," ceritanya sebak.
Mohd Shukri turut menceritakan bagaimana beliau, yang ketika itu menjawat jawatan sebagai Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, bersama Tan Sri Abu Hassan, menemui ramai menteri dengan harapan ada sesuatu yang dapat dilakukan mereka.
"Saya bukan sesiapa, saya tak ada kepentingan pun. Saya dan Tan Sri jumpa begitu ramai menteri dan suarakan kebimbangan serta maklumat yang kami ada. Kami cuba yakinkan mereka, kes 2.6 bilion ini bukan kisah dongeng.
"Kami beri cadangan, (Datuk Seri) Najib perlu turun dari jawatan sebagai Perdana Menteri. Gantikan dengan (Datuk Seri Ahmad) Zahid Hamidi, atau (Datuk Seri) Hishamuddin Tun Hussein.
"Tapi dalam ramai-ramai yang kami jumpa, hanya tiga sahaja yang berani bersuara. Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Shafie Apdal dan Datuk Seri Husni Hanadzlah. Yang lain semua takut.
"Malah saya dan Tan Sri juga berjumpa dengan Majlis Raja-Raja sebanyak dua kali, tetapi kami hampa," katanya.
Mohd Shukri yang bersara wajib dari SPRM pada Oktober 2016, dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad minggu lalu bagi menggantikan Tan Sri Dzulkifli Ahmad yang meletak jawatan minggu lalu.
SRC International ialah anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
#1MDB #2016 #Amerika Syarikat #Mahathir Mohamad #menteri #Mohd Shukri Abdull #Muhyiddin Yassin #Najib Razak #New York #Perdana Menteri #Rasuah #Shafie Apdal #SPRM #Washington #Zahid Hamidi
;