Saya memang dihubungi SPRM kerana kes pecah amanah - Abdul Ghani

Astro Awani
September 30, 2014 10:24 MYT
ABDUL GHANI: Saya memang dihubungi SPRM kerana kes pecah amanah - Gambar fail
Ketua UMNO Bahagian Pensiangan, Datuk Abdul Ghani Mohd Yasin mengaku dihubungi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Jumaat untuk memberi keterangan berhubung kes berkaitan pecah amanah.
Bagaimanapun, Abdul Ghani, yang kini berada di Kota Kinabalu, enggan mengulas lanjut mengenai butiran panggilan berkenaan.
"Saya menerima panggilan daripada SPRM pada Rabu lepas semasa di Kuala Lumpur bersama anak saya. Saya juga menerima satu lagi panggilan pada petang hari yang sama yang meminta saya bertemu dengan mereka.
"Pada Jumaat, saya secara sukarela berjumpa SPRM di Kota Kinabalu," katanya ketika dipetik Bernama di sini hari ini.
Pada Selasa, sebuah akhbar di Sabah, Daily Express melaporkan seorang Ketua Bahagian UMNO di negeri itu ditahan SPRM di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Khamis kerana terlibat dengan dakwaan pecah amanah melibatkan wang sehingga RM300 juta.
Bagaimanapun, Abdul Ghani menafikan ditahan, sebaliknya berkata beliau memberi kerjasama dan secara sukarela memberi kenyataan kepada pegawai SPRM berkenaan.
Ujarnya, kes itu masih di peringkat awal dan meminta semua pihak tidak membuat spekulasi agar tidak mengganggu perjalanan kes.
Sementara itu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman meminta semua pihak supaya tidak membuat spekulasi berhubung siasatan SPRM ke atas seorang Ketua Umno Bahagian di Sabah.
Katanya untuk berlaku adil kepada individu berkenaan, sebarang spekulasi atau anggapan bahawa individu itu bersalah perlu dielak kerana perkara itu masih dalam siasatan.
"Saya tidak mempunyai butiran lanjut berkenaan kes ini yang sedang dalam siasatan SPRM. Kita adalah kerajaan yang telus dan tiada apa yang perlu disembunyikan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
#Amanah #ghani #juta #MUSA #Rasuah #Sabah #SPRM #UMNO