Ahli Parlimen Batang Sadong Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pelantikan beliau sebagai menteri di peringkat persekutuan yang diumumkan pada Isnin, tidak akan mengurangkan komitmennya terhadap pengundi yang memilih beliau sebagai Ahli Dewan Rakyat, sejak tiga penggal lepas.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan lewat malam tadi, beliau berterima kasih kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Openg, atas kepercayaan melantik beliau sebagai Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan.

"Kepada pengundi-pengundi saya di Batang Sadong, saya masih Nancy Shukri yang anda kenal dan akan terus berkhidmat kepada anda, sebagai Ahli Parlimen Batang Sadong," katanya.

Dengan pelantikan itu, beliau berazam untuk menampilkan penyelesaian berkesan dan langkah ekonomi jangka panjang, untuk menguruskan pelancongan negara yang kini berhadapan cabaran getir.

"Saya percaya ekonomi negara cukup berdaya tahan untuk mendepani cabaran-cabaran ini, dan dengan barisan Kabinet baharu ini, kami akan mengambil kesempatan terhadap semua peluang yang ada, untuk bertahan melalui krisis ini," tambahnya.


Sementara itu di KUALA LUMPUR, Ketua Setiausaha MOTAC Datuk Dr Noor Zari Hamat dalam kenyataan kepada Bernama menyifatkan pelantikan Nancy sebagai peneraju baharu kementerian itu adalah tepat dan seiring, dengan keperluan industri itu.

"Pemilihan dan pelantikan beliau amat bertepatan, kerana negara memerlukan pemimpin berkarisma dan berdedikasi untuk memacu sektor pelancongan, kesenian dan kebudayaan, sebagai pemangkin pertumbuhan sosio ekonomi yang mampan serta memperkasa, memelihara dan memulihara seni, budaya dan warisan negara.

"Kredibiliti, kepimpimpinan dan pengalaman luas beliau pastinya, dapat merangka pelan tindakan strategik dan hala tuju pembangunan pelancongan, kesenian dan kebudayaan negara, yang komprehensif dan berdaya maju," katanya.

-- BERNAMA