'Saya masih ke pasar beli barang dapur' - Saifuddin Nasution

Irwan Muhammad Zain
Oktober 25, 2018 21:13 MYT
Saifuddin juga sering ke pasar raya untuk meninjau harga barangan keperluan pengguna. - Gambar fail
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengakui masih ke pasar untuk membeli barang dapur biarpun sudah bergelar menteri.
Jelas beliau, meskipun sibuk dengan tanggungjawab sebagai anggota kabinet, namun 'tugas' yang dipegang sejak 30 tahun lalu masih kekal digalasnya.
"Nama saya Saifuddin. Saya ada seorang isteri dan lima orang anak. Sejak 30 tahun lalu, tugas beli barang dapur masih saya yang buat. Saya akan ke pasar TTDI atau Giant sampai hari ini," katanya di program Bicara Minda di Dewan Karangkraf, hari ini.
Beliau menjawab soalan moderator Tan Sri Johan Jaafar yang bertanya bila kali terakhir beliau ke pasar basah bukan sebagai menteri.
Selain ke pasar untuk membeli barang dapur, Saifuddin menjelaskan beliau turut ke pasar raya utama sebagai Menteri KPDNHEP untuk meninjau harga barang keperluan pengguna.
Katanya, beliau akan meminta supaya disenaraikan 30 jenis barang yang laris setiap hari di pasar raya utama itu.
"Senarai yang diberikan seperti beras, minyak masak, mi maggi, kicap cap kipas udang, milo, sosej dan lain-lain. Percaya atau tidak, empat atau lima pasar raya besar saya pergi, 30 senarai barangan paling laris adalah sama. Apa yang paling laris mesti ada beras, minyak masak, sosej, mi maggi, ikan bilis.. senarai sama.
"Jadi saya cakap pada diri sendiri, kalau inilah gayanya, paling minimum saya kata tiada kenaikan terhadap 30 barangan ini. 446 item barangan utama daripada enam kategori dilihat pegawai kita," katanya lagi.
#Bicara Minda #Johan Jaaffar #KPDNHEP #Malaysia #pasar #pasar raya #Saifuddin Nasution Ismail #Selangor #shah alam #Sinar Harian #TTDI
;