Saya mahu terus beri sumbangan kepada kerajaan - Abdul Wahid

Bernama
Mei 28, 2016 00:07 MYT
Abdul Wahid berkata beliau percaya telah memberi khidmat terbaik setakat kemampuan sepanjang tempoh berkhidmat selama tiga tahun sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri. - Gambar fail
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar berhasrat untuk terus memberi sumbangan kepada kerajaan walaupun selepas khidmatnya sebagai Anggota Dewan Negara dan menteri berakhir pada 4 Jun ini.
Abdul Wahid berkata walaupun tidak lagi menjadi ahli Jemaah Menteri selepas tarikh berkenaan, beliau berharap akan dapat terus memberi sumbangan sebagai ahli Majlis Ekonomi yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Abdul Wahid berkata beliau percaya telah memberi khidmat terbaik setakat kemampuan sepanjang tempoh berkhidmat selama tiga tahun sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri sejak 5 Jun 2013.
"Penyempurnaan tempoh pelantikan sebagai Ahli Dewan Negara adalah selaras dengan hasrat awal saya untuk berkhidmat selama satu penggal sahaja seperti mana yang telah saya maklumkan kepada perdana menteri semasa menerima pelantikan tersebut.
"Ini akan membolehkan saya kembali semula berkhidmat di sektor korporat. Walaupun tidak lagi menjadi ahli Jemaah Menteri selepas 4 Jun, saya berharap akan dapat terus menyumbang kepada kerajaan Malaysia sebagai seorang ahli Majlis Ekonomi yang dipengerusikan perdana menteri," katanya dalam satu kenyataan di sini malam tadi.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada perdana menteri, timbalan perdana menteri dan menteri-menteri Kabinet yang lain yang telah banyak membantu dan memberi sokongan sepanjang menjalankan tugas.
Perdana menteri dalam satu kenyataan hari ini berkata perkhidmatan Abdul Wahid sebagai anggota Dewan Negara dan menteri di Jabatan Perdana Menteri akan berakhir pada 4 Jun ini dan ketika menerima pelantikan itu pada 2013, Abdul Wahid berhasrat untuk hanya berkhidmat bagi satu penggal sahaja.
#Abdul Wahid Omar #Majlis Ekonomi #Maybank #Menteri di Jabatan Perdana Menteri #Najib Razak #Perdana Menteri