'Saya mahu pertahan kerusi Parlimen Gua Musang' - Mohd Azizi

Umavathi Ramayah
Julai 1, 2024 17:56 MYT
Mohd Azizi memberitahu, buat masa ini beliau tidak terfikir untuk menyertai mana-mana parti, sebaliknya bersedia bertanding atas tiket Bebas.- Gambar fail/Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Mohd Azizi Abu Naim yang digugurkan keahliannya dari Bersatu menyatakan hasrat untuk mempertahankan kerusi Parlimen Gua Musang yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), sekiranya keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat tidak menyebelahinya.

Ringkasan AI
  • Kekal Sebagai Ahli Parlimen Gua Musang: Mohd Azizi Abu Naim yang memenangi kerusi Parlimen Gua Musang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu mahu kekal sebagai Ahli Parlimen sekiranya Yang Dipertua Dewan Rakyat mengosongkan kerusi itu.
  • Bersedia Bertanding Tanpa Parti: Walaupun digugurkan keahliannya dari Bersatu, Mohd Azizi tidak terfikir untuk menyertai mana-mana parti. Beliau bersedia bertanding atas tiket Bebas jika berlaku kekosongan kerusi.
  • Pilihan Raya Kecil DUN Nenggiri: Mohd Azizi mencabar keputusan Speaker DUN Kelantan berhubung pengosongan kerusi DUN Nenggiri. Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagaimanapun menolak permohonan injunksi sementara untuk menghentikan Pilihan Raya Kecil DUN itu daripada diadakan.

Namun katanya, buat masa beliau tidak terfikir untuk menyertai mana-mana parti, sebaliknya bersedia bertanding atas tiket Bebas.
“Sekiranya berlaku kekosongan kerusi, saya tidak boleh menyertai mana-mana parti kerana memegang konsep saya tidak bersalah, saya dipecat oleh parti.
"Saya akan berjumpa dengan pimpinan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) agar memberi peluang untuk bertanding sekali lagi di kerusi berkenaan.
"Pada hakikatnya ia bukan satu sasaran di peringkat PN (Perikatan Nasional) sendiri kerana kita tidak diberi apa-apa fasiliti disebabkan Parlimen Gua Musang bukan kerusi target.
"Ia adalah berdasarkan sejarah susulan kekebalan Tengku Razaleigh Hamzah (bekas Ahli Parlimen Gua Musang). Tapi, dua tahun kita bekerja keras membuat aktiviti terutama menarik pengundi muda untuk menang. Kenapa saya nak biarkan kerusi itu kepada orang lain sekiranya berlaku pilihan raya," katanya pada sidang media di bangunan Parlimen, di sini pada Isnin.
Dalam pada itu, Mohd Azizi yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri itu yakin Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul akan membuat keputusan yang sewajarnya berdasarkan Perlembagaan.
Minggu lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan injunksi sementara yang difailkan Mohd Azizi, untuk menghentikan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN itu daripada diadakan sehingga saman pemulanya diputuskan.
Pesuruhjaya Kehakiman, Roz Mawar Rozain, membuat keputusan itu selepas memutuskan tiada kemudaratan yang tidak boleh diperbaiki kerana Mohd Azizi boleh menyertai pilihan raya kecil itu.
Sebelum itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Nenggiri, Kelantan diadakan pada 17 Ogos depan.
#Suruhanjaya Pilihan Raya #Gua Musang #Mahkamah Tinggi #Mohd Azizi Abu Naim
;