Saya mahu nasib OKU dibela - Ras Adiba
Fareez Azman
Mei 25, 2020 18:35 MYT
Mei 25, 2020 18:35 MYT
Personaliti penyiaran, Ras Adiba Radzi yang mengangkat sumpah sebagai Senator Dewan Negara pada 20 Mei lalu bertekad akan terus memperjuangkan hak golongan Orang Kurang Upaya (OKU).
Menurutnya ketika ditemubual dalam program Agenda AWANI, kurangnya kesedaran rakyat terhadap golongan itu serta terhadnya kemudahan infrastruktur antara isu yang akan disuarakan dalam sidang Dewan Negara kelak.
"Ketika ini saya masih dalam persiapan menyediakan topik dan perkara-perkara yang harus diutarakan, bersama-sama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan juga Jabatan Pembangunan Orang Kurang Upaya (JPOKU).
"Antara yang utama adalah mengenai pekerjaan komuniti OKU. Kami sebenarnya dianaktirikan, kami susah mendapat pekerjaan, begitu juga saya tidak mempunyai pekerjaan lebih 6 tahun selepas menjadi OKU.
"Saya ke sana ke mari dan susah payah 6 tahun saya hidup dan pernah satu ketika hanya makan nasi dan garam serta minum air paip," akuinya.
Jelas Ras Adiba yang juga Presiden Orang Kelainan Upaya (OKU) Sentral, Akta Orang Kurang Upaya 2008 juga perlu diperbaiki terutama dalam beberapa aspek bagi memastikan hak golongan itu terus terbela.
"Sebenarnya Akta (Akta OKU 2008) ini dalam proses diperbaiki dan dipertajamkan agar ianya dapat menegakkan hak OKU.
"Banyak klausa-klausa dalam akta itu begitu tidak mesra OKU, jadi kami dalam perbincangan untuk memastikan dapat menggubal akta itu dan perjuangkan hak kami serta bela diri kami semua. Sebenarnya masalah kesedaran, orang punya persepsi terhadap OKU teruk," tegas Ras Adiba.
Program Agenda AWANI bersama Senator Ras Adiba Radzi akan disiarkan di saluran 501 Astro AWANI pada jam 9.00 malam ini.
#Agenda Awani
#Ahli Dewan Negara
#Bekas pembaca berita
#Dewan Negara
#jkm
#OKU
#Pengacara
#Personaliti Televisyen
#Ras Adiba Radzi
#senator