'Saya mahu buat kelainan pada tahun ini' - Najib
Bernama
Februari 10, 2013 23:06 MYT
Februari 10, 2013 23:06 MYT
Datuk Seri Najib Tun Razak berkata penglibatannya dalam penghasilan klip video sambutan Tahun Baharu Cina bertujuan mahu membuat kelainan pada sambutan perayaan itu tahun ini.
Perdana menteri berkata klip video itu juga sebagai tanda penghargaan dan hormat terhadap kebudayaan masyarakat Cina di negara ini, oleh itu beliau juga mahu setiap masyarakat agar saling menghormati budaya setiap kaum.
"Tadi kita tengok video yang sangat berlainan daripada biasa, mungkin ada yang bertanya kenapa saya buat video ini. Sebabnya ialah saya mahu buat kelainan tahun ini.
"Ia memberi mesej kepada kaum Cina bahawa saya menghormati budaya Cina. Seperti mana anda juga harus menghormati budaya Melayu, anda juga harus menghormati budaya India... kita juga harus menghormati budaya Cina," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan ringkas pada majlis Malam Media Tahun Baharu Cina bersama Perdana Menteri di Hotel G di sini malam ini.
Dalam klip video berdurasi kurang satu minit itu, Najib membuat penampilan khas dengan memain gendang tradisional Cina.