Saya lihat Jho Low boleh bawa pulangan untuk negara kerana... - Najib
Kohilah Sekaran
Oktober 27, 2018 17:01 MYT
Oktober 27, 2018 17:01 MYT
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata hubungan beliau dengan ahli perniagaan Low Taek Jho atau dikenali sebagai Jho Low adalah atas dasar perniagaan sahaja.
Menurut Najib, Jho Low mempunyai hubungan baik dengan negara-negara Asia Barat yang dilihat boleh dimanfaatkan.
“Hubungan saya dengan Jho Low berdasarkan tujuan dia akan mempromosi pelaburan dari Asia Barat.
“Ini akan membantu kita mengekalkan hubungan strategik yang baik dengan negara-negara utama, dan dia juga rapat dengan keluarga diraja UAE serta di Arab Saudi.
“Jadi, saya lihat dia membawa pulangan untuk membantu kita dari segi pelaburan,” katanya pada satu temu bual bersama agensi media antarabangsa, Al Jazeera.
Najib berkata demikian apabila ditanya wartawan Mary Ann Jolley mengenai hubungan beliau dengan ahli perniagaan itu.
Sementara itu, Najib turut meminta siasatan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak hanya memberi fokus kepada Jho Low semata-mata.
Sebaliknya, siasatan itu perlu menyiasat tokoh-tokoh antarabangsa lain yang didakwa terlibat dalam penyelewengan 1MDB.
“Terdapat perkara yang tidak betul dalam 1MDB tetapi jangan siasat Jho Low sahaja. Dapatkan individu lain yang terlibat juga kerana berkemungkinan terdapat tokoh-tokoh antarabangsa lain yang terlibat.
“Mereka juga perlu disiasat dan disoal untuk mengetahui jika mereka mendapat faedah daripada isu 1MDB ini. Inilah yang saya ingin tahu,” katanya.