Saya lebih pentingkan siasatan daripada isu reben uniform - Latheefa Koya
Afiq Ariffin
Jun 29, 2019 11:40 MYT
Jun 29, 2019 11:40 MYT
SELEPAS kecoh ekoran beberapa keping gambar yang menunjukkan cara pemakaian seragam Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam, Latheefa Koya tampil memberikan penjelasan mengenai perkara tersebut.
Menurut Latheefa, terdapat sedikit kekhilafan dalam Bar Ribbon yang beliau pakai pada hari tersebut, namun, ia telah diperbetulkan.
Tambahnya lagi, beliau tidak memakai pingat sebagaimana yang didakwa oleh beberapa pihak.
“Bar Ribbon perkhidmatan yang dikepilkan ke atas saya adalah berdasarkan Perintah Tetap Ketua Pesuruhjaya SPRM Bab A (Dasar), Bil 1 Tahun 2012, yang telah mengarahkan bahawa seseorang Ketua Pesuruhjaya berdasarkan jawatannya dikehendaki memakai Bar Ribbon seperti yang disenaraikan.
“Bar Ribbon ini tidak harus dikelirukan dengan pingat atau darjah kebesaran yang dikurniakan dari pihak Istana, samada di peringkat Persekutuan mahupun di peringkat negeri,” katanya dalam kenyataan media rasmi yang dikeluarkan pada Sabtu.
Jelasnya, butiran lain di atas baju seragam beliau adalah lencana-lencana pangkat yang beliau dikehendaki memakai sebagai Ketua Pesuruhjaya dan ia adalah berdasarkan perintah tetap.
Latheefa turut mengucapkan terima kasih kepada mereka yang telah menunjukkan minat yang tinggi terhadap pakaian seragamnya.
“Secara telus saya mengaku, saya baru sahaja mempelajari berkenaan lencana pangkat, Bar Ribbon dan pemakaian seragam.
“Prioriti segera saya sejak mengambil alih tugas adalah melibatkan beberapa kes rasuah yang serius dan bukanlah butiran pemakaian seragam saya,” katanya lagi.
Sebelum ini, Latheefa menerima tamparan hebat daripada warganet yang mendakwa beliau memakai Bar Ribbon perkhidmatan melebihi daripada jumlah sepatutnya.
Malah, terdapat segelintir pihak yang mempersoalkan pemakaian seragamnya itu memandangkan beliau baru sahaja dilantik sebagai KP SPRM pada 1 Jun lalu.
#Bar Ribbon
#Ketua Pesuruhjaya
#Ketua Pesuruhjaya SPRM
#Latheefa Koya
#Perintah Tetap
#seragam
#SPRM