'Saya lahir, dibesarkan di sini' - Pempengaruh, Dd Chronicles
Sinar Harian
Ogos 25, 2023 15:48 MYT
Ogos 25, 2023 15:48 MYT
SUNGAI BULOH: "Saya lahir di negara ini dan berhak menentukan nasib saya dan anak cucu kelak," demikian tegas pempengaruh, Dd Chronicles atau Dediy Sulaeman Ra'e, 43. berkaitan isu dakwaan fitnah berkaitan kad pengenalan dan data peribadinya yang dimanipulasi pihak tertentu.
Dediy berkata, tindakan beberapa pihak yang mendakwa beliau merupakan pendatang asing sebagai satu tindakan yang tidak bertanggungjawab.
"Saya dilahirkan dan dibesarkan di negara tercinta ini, saya juga mendapat pendidikan di sini, jadi mana datangnya dakwaan yang mengatakan saya orang luar.
"Biarpun ibu bapa saya memegang kad pengenalan merah, tapi ALLAH takdirkan saya lahir di sini, jadi saya rasa dakwaan yang mengatakan saya pendatang asing adalah sesuatu yang tidak dapat diterima akal waras," katanya kepada media ketika ditemui selepas tampil membuat laporan di Balai Polis Kampung Baru Sungai Buloh di sini pada Jumaat.
Katanya, tindakannya berkempen juga seharusnya tidak dijadikan isu kerana ia merupakan satu kebebasan untuk berpolitik di negara ini.
"Malaysia merupakan negara demokrasi, jadi saya merasakan tidak menjadi salah untuk saya menyokong atau memilih wadah politik tertentu.
"Saya berhak menyuarakan pandangan dan pendapat saya demi masa depan anak cucu saya kelak," katanya.
Menurutnya, awalnya dirinya tidak terkesan dengan dakwaan berkaitan kad pengenalan dan identitinya itu yang disebarkan di media sosial.
"Saya terus terang saya tidak terkesan apa-apa, sebab saya tahu, segala tohmahan tersebut tidak benar.
"Namun apabila perkara ini mengganggu emosi isteri dan anak saya, saya sifatkan ia merupakan satu tindakan melampau dan sewajarnya segera dihentikan," katanya.
Sementara itu, peguamnya, Asiah Abd Jalil berkata, tuduhan yang dilemparkan terhadap Dediy disifatkan sebagai sesuatu yang mengancam keselamatan.
"Walapun anak guam saya telah tunjukkan kad pengenalannya namun dituduh pula ia palsu, segala tuduhan tersebut lama kelamaan makin menjadi dan mengancam keselamatan beliau.
"Sehingga ada yang menyeru agar pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) ambil tindakan, minta Jabatan Imigresen Malaysia menyerbu, jadi atas faktor ini menyebabkan beliau tampil membuat laporan polis," katanya.
Ujar Asiah, laporan juga dibuat berkaitan satu polisi insurans yang tertera nama Dediy telah disebarkan di media sosial.
"Beliau secara peribadi tidak pernah membuat apa-apa permohonan untuk menyertai skim insurans tersebut.
"Selain itu, beliau juga tidak pernah menandatangani apa-apa surat permohonan, surat persetujuan atau sebarang kontrak insurans dengan skim tersebut," katanya.
*Artikel disiarkan di Sinar Harian