Saya kena dengar dulu rakaman audio didakwa Nik Abduh - Abdul Hadi
Nur Fazlizai Ali
Februari 15, 2019 07:38 MYT
Februari 15, 2019 07:38 MYT
Susulan isu rakaman audio dan kenyataan didakwa membabitkan Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengambil pendekatan berhati-hati.
Ahli parlimen Marang itu enggan mengulas lanjut ketika ditanya adakah benar dakwaan Nik Abduh bahawa dia telah mendapat restu dari pimpinan tertinggi Pas.
“Saya tidak tengok audio tu, saya tidak tengok dan saya tidak baca. Saya tidak boleh hendak komen,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
“Betul tak betul saya kena tengok dulu, baca dulu sebab banyak perkara saya sedang sibuk, hal-hal lain. Hal audio ini tertumpu kepada Sarawak Report dah selesai . SPRM sudah datang pejabat dan siasat. Tengok sendiri, lif pejabat Pas pun rosak. RM90 juta itu baguslah, tengok sendiri,” katanya ketika ditemui di Majlis Sambutan Tahun Baru Cina DUN Alur Limbat di sini pada Jumaat petang.
Sebelum ini Nik Mohamad Abduh dilaporkan berkata tindakan beliau menafikan rakaman audio mendakwa dirinya menerima dana daripada Barisan Nasional sebelum pilihan raya umum lalu kerana mahu menjaga reputasi partinya.
Terdahulu, isu rakaman audio yang didakwa mengandungi suara Nik Mohamad Abduh kembali timbul selepas Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyelesaikan saman terhadap Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown di luar mahkamah.
#Abdul Hadi Awang
#Barisan Nasional
#mahkamah
#PAS
#pilihan raya
#pilihan raya umum
#presiden
#saman
#Sarawak Report
#SPRM