Saya kembali jalani kehidupan seperti biasa - balu pegawai pertama MH17

Bernama
Julai 16, 2016 06:58 MYT
Sharifah Asma'a Syed Alwi Al Junied berkata, setelah dua tahun kejadian MH17, kini beliau semakin menyedari tentang perlunya beliau kembali menjalani kehidupan seperti biasa demi masa depan sendiri dan anaknya. - Gambar fail
"Walaupun setiap hari, saya teringatkan suami saya, tapi saya perlu teruskan kehidupan dan kuatkan semangat demi anak saya," kata Sharifah Asma'a Syed Alwi Al Junied, balu kepada pegawai pertama Penerbangan MH17 Malaysia Airlines, Ahmad Hakimi Hanapi.
Ahmad Hakimi adalah antara 298 anak kapal dan penumpang pesawat Boeing 777 yang maut apabila pesawat itu ditembak jatuh di timur Ukraine berhampiran sempadan Rusia pada 17 Julai 2014 ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.
Bercakap kepada Bernama di sini baru-baru ini, Asma'a berkata setelah dua tahun kejadian itu berlaku, kini beliau semakin menyedari tentang perlunya beliau kembali menjalani kehidupan seperti biasa demi masa depan sendiri dan anaknya, Abderrahman, yang akan berusia tiga tahun Oktober ini.
"Saya boleh katakan begitu tenang sekarang. Saya mempunyai pekerjaan sepenuh masa di Jabatan Sumber Manusia, Pejabat Pertubuhan Bangsa Bersatu dan sibuk dengan perniagaan francais Boost Juice saya, di sini.
"Banyak urusan yang perlu dilakukan, seperti menyediakan invois untuk perniagaan saya. Memanglah saya selalu teringat kepada suami saya, tapi saya perlu meneruskan kehidupan. Buang yang keruh, ambil yang jernih.
"Saya ketepikan saja perkara yang boleh melemahkan semangat saya. Saya tidak boleh lemah semangat demi anak saya, mertua, ipar dan sesiapa sahaja. Saya perlu kuatkan semangat agar orang nampak saya boleh meneruskan kehidupan," kata wanita berusia 31 tahun itu.
Sambil melemparkan pandangan kepada Aberrahman, yang sedang leka bermain dengan permainan kartun menggunakan Ipad, Asma'a berkata: "Dialah hidup saya dan membuat saya sentiasa sibuk kerana dia sedang membesar serta sedang belajar meneroka perkara baharu".
Kata Asma'a, setelah ketiadaan suaminya, Abderrahman amat rapat dengan bapa mertuanya, Dr Hanapi Mohd Noor, 68, yang meninggal dunia Khamis lepas akibat kanser hempedu.
"Saya sedih apabila bapa mertua saya juga sudah tiada kerana dia amat rapat dengan Abderrahman," katanya.
#Ahmad Hakimi Hanapi #MH17 #Sharifah Asma'a Syed Alwi Al Junied