Saya kehilangan pembantu luar biasa, kawan baik - Dr Mahathir
Bernama
Jun 5, 2024 22:17 MYT
Jun 5, 2024 22:17 MYT
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan pembantunya Ismail Manaf yang meninggal dunia hari ini seorang yang luar biasa kesetiaannya dan tidak pernah tidak datang kerja dan tidak pernah cuai.
Menerusi kenyataan di laman Facebooknya, Dr Mahathir berkata Allahyarham yang setia bersama beliau sejak beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri pada 1970-an sehingga semalam pun masih lagi datang bekerja.
"Hari ini saya berasa sangat sedih. Saya kehilangan seorang kawan baik, pembantu dan penyokong kuat saya yang meninggal dunia pagi tadi.
"Hari ini Ismail tak tunggu saya lagi. Saya kehilangan seorang pembantu yang ikhlas. Saya amat terasa kehilangan Ismail," katanya.
Dr Mahathir berkata apabila beliau datang pejabat, tidak pernah Ismail tiada di pejabat dan Allahyarham setia menunggu untuk membuat kerja-kerja yang diperlukan.
Katanya Allahyarham seorang yang berkhidmat bukan semata-mata untuk mendapat upah tetapi kerana percaya apa yang Allahyarham lakukan adalah sesuatu yang baik.
"Semalam Ismail tidak sihat dan sepatutnya bercuti hari ini. Sebelum pulang kami sempat bersalaman. Saya tidak sangka itulah kali terakhir kami berjumpa. Itulah ketentuan Allah SWT, setiap yang hidup pasti akan mati," katanya.
-- BERNAMA