Saya kecewa Shafie cadang Malaysia berunding dengan FIlipina - Hishammuddin
Astro Awani
September 15, 2020 11:56 MYT
September 15, 2020 11:56 MYT
Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein melahirkan rasa kecewa dengan cadangan Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal yang mencadangkan agar Kerajaan Malaysia berunding dengan Kerajaan Filipina.
Menteri Luar itu menegaskan, tuntutan Filipina bukan sahaja tidak berasas, malah langsung tidak relevan dengan Malaysia.
“Sebelum ini saya telah tegaskan banyak kali, tuntutan Filipina ke atas Sabah tidak akan dilayan dan Sabah milik Malaysia buat selama-lamanya.
“Sebab itu, saya kecewa apabila Presiden Warisan, Shafie Apdal baru-baru ini mencadangkan agar Kerajaan Malaysia berunding dengan Kerajaan Filipina.
“Perlu difahami, tuntutan Filipina bukan sahaja tidak berasas, malah langsung tidak relevan. Malaysia tidak mengiktiraf tuntutan tersebut. Jadi, tiada sebab mengapa kita perlu berunding dengan mereka,” katanya dalam catatan terbaharu di laman Facebooknya pada Selasa.
Pada 28 Ogos lalu, Mohd Shafie menggesa kerajaan Malaysia melakukan rundingan dengan Filipina berhubung tuntutan terhadap Sabah.
Menurut beliau, perlu difahami, tuntutan Filipina bukan sahaja tidak berasas, malah langsung tidak relevan dan Malaysia tidak mengiktiraf tuntutan tersebut.
Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, negara akan dilihat mengakui tuntutan tersebut mempunyai asas sekiranya membuka ruang rundingan berkenaan.
“Atau sebenarnya memang Shafie anggap tuntutan Filipina berasas? Sebagai pemimpin Sabah, Shafie sepatutnya lebih tegas, bukannya cuba beri muka kepada pihak luar yang cuba mempersoalkan kedaulatan Sabah.
“Pendirian Kerajaan Malaysia tetap kukuh - tidak akan berunding atau melayan tuntutan mana-mana pihak ke atas Sabah!” tegasnya.