'Saya ke Sabah atas urusan kerja bukan hal politik' - Hamzah Zainuddin

Ruzaini Zulkepli
Jun 14, 2020 18:19 MYT
Hamzah memaklumkan ia adalah urusan kementerian seperti bertemu dengan agensi, pegawai di bawah KDN. - Gambar Fail
Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Hamzah Zainuddin menafikan beliau ke Sabah atas sebab-sebab politik.
Sebaliknya Hamzah menegaskan lawatan kerjanya ke Sabah adalah atas urusannya sebagai Menteri Dalam Negeri.
Ketika ditanya tentang kehadiran beliau sejak tiga hari lalu, Hamzah memaklumkan ia adalah urusan kementerian seperti bertemu dengan agensi, pegawai di bawah KDN.
"Saya tidak, yang saya tahunya, saya melawat lorong-lorong tikus (Pantai Timur Sabah), belum ada 'tikus-tikus' yang jumpa dalam tiga hari ini.
"Mungkin yang bercakap mereka, saya tidak ada kerana saya datang untuk bertemu sendiri pegawai-pegawai, agensi yang bersama dengan saya," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melakukan lawatan ke Pusat Tahanan Sementara (PTS) Manggatal, Kota Kinabalu, pada Ahad.
Sebelum ini, spekulasi bertiup kencang berhubung kemelut politik di Sabah, di mana Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mendedahkan ada cubaan melobi wakil rakyat parti pemerintah kerajaan negeri.
Dalam sidang media di Kota Kinabalu, baru-baru ini, Shafie turut menempelak pihak pembangkang negeri yang beliau dakwa menggunakan pelbagai taktik untuk memporak-perandakan kestabilan pentadbiran kerajaan sedia ada.
Sementara itu, Hamzah sambil berseloroh menyeru kepada rakyat Sabah supaya bersatu dalam menangani isu berkaitan pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuklah membabitkan sindiket penyeludupan manusia daripada memikirkan perihal politik.
"All of us must work together, semua rakyat Sabah. Semua penduduk yang tinggal di Sabah perlu bekerjasama untuk menangkap 'tikus-tikus' ini, bukan politikus-politikus," katanya.
#Bersatu #Hamzah Zainuddin #KDN #Kementerian Dalam Negeri #Mohd Shafie Apdal #Parti Pribumi Bersatu Malaysia #Parti Warisan #Warisan
;