'Saya jumpa bayi muka dah biru, tersembam dalam baldi' - Bapa

Nur Fazlizai Ali
Januari 30, 2019 14:46 MYT
Hasil bedah siasat yang dijalankan mengesahkan bayi berkenaan mati akibat lemas. - Gambar hiasan
Seorang bayi lelaki ditemui lemas di dalam baldi bilik air rumah keluarganya di Kampung Bukit Tunggal, Kuala Nerus pada Selasa.
Insiden malang itu disedari ahli keluarganya kira-kira jam 12.35 tengahari semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman berkata ketika kejadian ahli keluarganya yang lain sedang tidur.
Katanya sebaik bapanya menyedari anak bongsunya yang berusia satu tahun 6 bulan tiada dia bergegas mencarinya sebelum ditemui tersembam di dalam baldi.
"Ketika ditemui anak bongsu daripada sembilan beradik itu sudah kebiruan sebelum dikejarkan ke Klinik Kesihatan Bukit Tunggal.
"Doktor berusaha menyelamatkan mangsa kira-kira 50 minit sebelum disahkan meninggal," katanya.
Beliau hasil bedah siasat yang dijalankan mengesahkan bayi berkenaan mati akibat lemas.
Jelasnya pihaknya mengklasifikan kes itu sebagai mati mengejut.
#anak #baldi #bayi #kesihatan #Kuala Nerus #Kuala Terengganu #lemas #mangsa #mati #rumah
;