'Saya jadi serba salah tidak ikut keluarga ke Kuantan' - Anak

Raffi Bachik
Jun 11, 2017 07:48 MYT
Lapan maut, termasuk enam sekeluarga rentung, dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Jalan Ladang Risda Palong, Bandar Seri Jempol, Negeri Sembilan. - abatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM)
“Saya serba salah tidak ikut mereka pergi semua, sedangkan ayah beriya-iya mengajak saya sama, sekarang semua ahli keluarga saya sudah tiada."
Itulah luahan Wan Muhammad Hazim Wan Mohd Fauzi, 19, seorang ahli keluarga kepada enam mangsa yang rentung dalam nahas di kilometer 25 Jalan Keratong-Bahau, berhampiran ladang Risda Palong, Jempol, petang semalam.
Wan Muhammad Hazim yang ditemui di Hospital Jempol ketika hadir membuat proses pengecaman jenazah ibu bapa dan empat adik-beradiknya berkata, keluarganya bertolak ke Kuantan untuk menghantar adik keduanya yang akan memulakan semula pengajian di Kolej Vokasional Kuantan selepas bercuti sekitar 10 pagi.
Katanya, dia sememangnya jarang turut serta berjalan jauh bersama keluarganya ekoran sibuk menguruskan perniagaan online miliknya.
Namun pada hari kejadian, ayahnya mengejutkannya seawal jam 8 pagi dan memujuk untuk turut serta, namun dia tetap berdegil.
Katanya, dia hanya dimaklumkan oleh pihak polis yang datang ke rumahnya di Putrajaya sekitar 6 petang yang memintanya untuk menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol dalam kadar segera.
Sejurus membuat panggilan, dia hanya dimaklumkan bahawa hanya ayahnya yang sudah tiada namun keadaan ibu dan adik beradiknya yang lain tidak dinyatakan.
"Anggota polis itu hanya memaklumkan ayah saya terlibat kemalangan dan tidak pula memberitahu mengenai nasib lima lagi anggota keluarga saya. Saya tak sangka kejadian ini boleh berlaku," katanya.
Katanya, enam yang maut ialah bapanya Wan Mohd Fauzi Wan Ibrahim, 51, ibunya Masnoraida M Yusoff, 45, Wan Muhammad Muhaimin, 22, Wan Nor Athirah, 18, Wan Mohd Amar Haziq, 13, dan Wan Nor Alisya, 7 tahun.
Wan Muhammad Hazim yang kini yatim piatu berkata, dia dapat mengesahkan yang terkorban itu adalah ahli keluarganya berdasarkan pakaian yang dipakai oleh adiknya Wan Nor Athirah.
Katanya, jenazah semua ahli keluarganya itu dijangka dibawa pulang ke kampung di Melor, Kelantan untuk urusan pengebumian sejurus selesai proses bedah siasat yang dijangka dilakukan hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang semalam, kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton Exora dinaiki enam beranak bertembung dengan sebuah treler yang memasuki laluannya sebelum kenderaan mereka dihempap treler berkenaan di kilometer 25 Jalan Bahau-Keratong, berhampiran ladang Risda Palong.
Kemalangan itu turut meragut dua nyawa suami isteri yang menaiki Perodua Myvi iaitu Osman Mohamed Taip, 31, dan Rosniza Othman, 32, manakala anak lelaki mereka berusia tiga tahun parah.
Pemandu Treler dan Toyota Vios terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.
#Jempol #kemalangan #maut #rentung #Risda Palong #Wan Muhammad Hazim
;