'Saya ibu gagal' - Bayi lelaki ditinggal bersama nota

Astro Awani
Julai 1, 2019 21:03 MYT
Bayi itu berada dalam keadaan sihat dan tiada sebarang kesan kecederaan ditemui pada tubuh badannya. - Astro AWANI
"Saya tidak mampu beli lampin bayi, beli susu dan hantar Yusuf untuk vaksin... Saya mahu ada orang sayang Yusuf. Saya sebagai ibu gagal menjaga Yusuf."
Demikian antara kandungan nota yang ditinggalkan bersama seorang bayi lelaki di hadapan sebuah rumah di Kampung Pompod, Kota Belud, Sabah, pada Isnin.
Kehadiran bayi yang dikatakan baru dilahirkan Sabtu lalu itu disedari pemilik rumah terbabit, seorang wanita berusia 33 tahun, selepas terdengar tangisannya kira-kira jam 5.30 pagi.
Difahamkan, bayi yang hanya berbalut kain itu ditinggalkan di atas kerusi berhampiran tangga rumah wanita terbabit.
"Saya minta maaf saya tinggalkan Yusuf di rumah puan. Saya cuma mahu hidup Yusuf jauh lebih baik kerana saya percaya puan boleh jaga Yusuf.
"Jagalah Yusuf macam anak puan. Saya ikhlas titipkan Yusuf untuk keluarga puan. Saya merayu. Biarlah Yusuf tinggal dengan puan," menurut nota itu.
Kandungan dalam nota tersebut turut menyatakan bayi berkenaan kelaparan kerana tidak dapat minum setitik susu pun sejak lahir berikutan ibunya tidak dapat memberikan susu badan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Belud, Supt Mohd Zaidi Abdullah berkata, pemilik rumah itu kemudian tampil membuat laporan polis pada jam 8.57 pagi.
Setakat ini, menurut Mohd Zaidi, bayi itu berada dalam keadaan sihat dan tiada sebarang kesan kecederaan ditemui pada tubuh badannya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan atas kesalahan membuang bayi.
#bayi #bayi lapar #buang #Kota Belud #laporan polis #Mohd Zaidi Abdullah #nota #susu #tangga rumah
;