KUALA LUMPUR:Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau mengambil maklum konsensus yang telah dicapai dalam rundingan dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bahawa Datuk Seri Hajiji Mohd Noor adalah calon Ketua Menteri Sabah yang baharu.

Ahmad Zahid berkata, beliau telah dimaklumkan oleh Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin bahawa keputusan itu dicapai demi memastikan kepentingan rakyat Sabah dapat segera diperjuangkan.

“Saya hormati keputusan tersebut atas dasar semangat autonomi UMNO Sabah yang telah pun dipersetujui bersama.

“Semoga kerajaan baharu yang dibentuk ini dapat segera memberi tumpuan kepada pelbagai agenda untuk membela kepentingan rakyat Sabah, sebagai mana termaktub dalam aku janji GRS,” katanya lagi.

LAPOR LANGSUNG: Ini masanya untuk kerja, jangan lagi berpolitik

Ahmad Zahid, yang juga Presiden UMNO sebelum ini berkata, beliau cenderung melihat jawatan itu diserahkan kepada UMNO susulan parti itu mempunyai jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) terbesar dalam GRS.

Dalam satu sidang media awal hari ini, Hajiji dan Bung Moktar memaklumkan, keputusan telah dicapai untuk mencalonkan ADUN Sulaman itu sebagai Ketua Menteri seterusnya.

Selain Bung Moktar, hadir sama pada sidang media itu ialah Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan; dan Setiausaha Agung Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Jahid Jahim serta barisan wakil rakyat GRS.

Menurut Jabatan Penerangan Sabah, Majlis Angkat Sumpah Ketua Menteri Sabah dijadual berlangsung di Istana Negeri jam 10.30 pagi, esok.

BACA: Hajiji terima watikah pelantikan KM Sabah, angkat sumpah esok