"Saya hilang segala-galanya" - mangsa bom Bangkok

Dewi Nur Harasha Alias
Ogos 19, 2015 00:43 MYT
Neoh Hock Guan (gambar) yang cedera di kaki dan belakang bahu ditemui media di rumahnya di Taman Dedap, Butterworth petang Rabu.
"Saya hilang segala-galanya," itu luahan mangsa serangan bom di Ratchaprasong, Neoh Hock Guan yang kehilangan empat ahli keluarganya dalam letupan pada Isnin lalu.
Biarpun terselamat, Hock Guan amat terkilan kerana kehilangan isteri, Lim Su Gaik, 49, anak lelaki Neoh Jai Jun, 20, menantu Lim Tze Siang , 33, cucu perempuan Lee Jing Xuan, empat tahun manakala seorang saudaranya Lim Su Xee masih lagi hilang.
Menceritakan kembali detik mencemaskan itu, Hock Guan berkata mereka sekeluarga sedang menjalankan upacara keagamaan apabila letupan itu berlaku.
Dalam suasana kelam kabut itu, Hock Guan bergegas mencari ahli keluarganya.
"Kejadian ini adalah pertama kali (dirasai), keadaan sangat kelam kabut. Saya sangat terkejut, tengok semua orang sudah tidak ada.
"Masa tu saya tengah sembahyang, saya sedang bakar colok tiba-tiba letupan kuat, rasa kuat sangat rasa macam ditolak dengan kuat, rasa semua hilang bila bangun, cari semua ahli keluarga, tapi tidak ada," katanya.
Selepas kejadian, Hock Guan yang berjaya menemui anak perempuannya, Neoh Yee Ling menceritakan saat beliau menyaksikan kehilangan orang yang dia sayangi.
"Lepas itu, saya nampak menantu saya (Tze Siang) saya panggil tapi tak ada jawapan. Selepas itu saya jumpa isteri saya.
"Saya nampak dia masih bernyawa, masih bergerak tapi sangat lemah. Kemudian nampak anak lelaki saya (Neoh Jai Jun), tapi dia sudah tidak bernyawa.
"Saya tidak tahu apa-apa. Saya rasa hilang segala-galanya. Saya hanya menjerit minta tolong," jelas Hock Guan.
Hock Guan yang cedera di kaki dan belakang bahu ditemui media di rumahnya di Taman Dedap, Butterworth petang Rabu sebaik tiba dari Bangkok bersama Yee Ling yang turut terselamat dalam kejadian itu.
Menurut Hock Guan, upacara pengkebumian isteri dan anak lelakinya akan diadakan pada Ahad ini.
Difahamkan Hock Guan serta keluarga sedang bercuti di Bangkok sejak Sabtu lalu dan dijadual pulang ke Malaysia pada Selasa.
Letupan kuat di Kuil Hindu Erawan, Ratchaprasong pada Isnin itu meragut nyawa 20 orang yang kebanyakkannya warga asing dan mencederakan lebih 120 orang.
#Bangkok #bom #letupan #mangsa #neoh hock guan
;