"Saya hendak dia terus sihat, berjaya dunia akhirat" - Doa ibu murid OKU

Astro Awani
Januari 1, 2018 11:45 MYT
Teruja untuk ke sekolah, Ariq bangun seawal jam 6 pagi, tidak sabar untuk ke sekolah bertemu rakan-rakan sebaya di Sekolah Kebangsaan Taman Perling, Johor Bahru.
Masalah tulang rapuh yang dihidapi Ariq Arif Danirl Razali tidak menghalang kanak-kanak berusia 7 tahun itu memulakan sesi persekolahan yang bermula hari ini.
Teruja untuk ke sekolah, Ariq bangun seawal jam 6 pagi, tidak sabar untuk ke sekolah bertemu rakan-rakan sebaya di Sekolah Kebangsaan Taman Perling, di sini.
Ibunya, Sanisah Dollah berkata, meskipun anaknya itu tidak boleh berjalan namun pemikirannya sama seperti kanak-kanak normal lain yang boleh mengenal huruf, membaca dan menyanyi.
“Sedih sebak semua ada. Alhamdulillah dia normal kanak-kanak seperti biasa cuma fizikal dia sahaja.
Saya nak dia terus sihat berjaya dunia akhirat,” jelasnya.
Ketika ditanya apakah cita-cita Ariq, dia berkata mahu menjadi doktor satu hari nanti.
Sementara itu bagi pelajar OKU dengan masalah pendengaran, Raden Mohd Aiman Firdaus Zailan pula proses penanaman implan telinga pada November lalu menambah keterujaannya untuk memulakan sesi persekolahan.
Ibu Raden, Nur Azizah berharap, anak istimewanya dapat belajar walaupun sedikit perlahan.
“Dia ada masalah pendengaran dipanggil 'born breech' (kelahiran tidak normal). Dia boleh dengar seperti orang biasa, saya harap sangat dia dapat belajar dengan baik dan kelas pendidikan khas ini harap juga dia didedahkan dengan dunia luar,“ ujarnya.
Seramai 56,579 pelajar tahun satu memulakan sesi persekolahan bagi tahun 2018 di Johor.
#hari pertama #Johor Bahru #kurang pendengaran #OKU #pekak #pendidikan #sekolah #sekolah mula #sesi persekolahan #SK Taman Perling #tulang rapuh
;