"Saya haramkan semua majlis berfoya-foya di pejabat" - Peringatan KPN kepada pegawai PDRM

Astro Awani
Julai 12, 2020 14:58 MYT
Abdul Hamid memberi peringatan bahawa tiada lagi 'aktiviti mewah' termasuk sambutan hari lahir pegawai tinggi PDRM dianjurkan di pejabat. - Gambar fail
Tiada lagi aktiviti ‘mewah’ dalam kalangan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dibenarkan, termasuk mengadakan majlis keramaian bagi merayakan hari lahir pegawai tinggi di pejabat mahupun mengadakan lawatan ke mana-mana tempat.
Penegasan itu diberikan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.
“Saya haramkan semua majlis berfoya-foya di pejabat.
“Ada pegawai-pegawai tinggi polis dibelanja makanan laut sehingga bil mencecah ribuan ringgit, siapa hendak bayar semua itu? Budaya sedemikian saya hendak buang dan tidak mahu ada dalam PDRM,” kata Abdul Hamid seperti dilaporkan Bernama pada Ahad
Dalam masa sama, Bernama melaporkan Abdul Hamid turut menegaskan, kesemua kes ‘sejuk beku’ Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman yang tidak diselesaikan sejak beberapa tahun lepas akan diteruskan semula siasatan dengan pegawai bertanggungjawab diberi tempoh sebulan untuk menyelesaikannya.
Beliau berkata, antara kes berkenaan ialah penipuan dalam talian dengan banyak kes tertangguh disebabkan pegawai penyiasat tidak melaksanakan tugas dengan baik, termasuk ada yang tidak menjalankan siasatan.
“Selain itu, ada juga kes JSJK yang mempunyai waran tangkap yang dikeluarkan mahkamah dan ada laporan polis yang dibuat pada 2013 (tapi siasatan) tidak berjalan,” katanya .
Menurut Abdul Hamid, pihaknya akan mengenal pasti pegawai penyiasat yang bertanggungjawab untuk diarah menyelesaikan kes masing-masing.
“Kes-kes 'sejuk beku' ini perlu dibuka semula untuk memberi keadilan kepada mangsa yang teraniaya dan kami cari siapa pegawai penyiasat berkenaan, beri dia amaran satu bulan untuk siapkan siasatan kes,” katanya.
Agensi berita itu turut melaporkan, Abdul Hamid menegaskan, pihaknya tidak akan memberi sebarang ruang kepada kegiatan perjudian dalam talian.
“Judi dalam talian memang saya lawan habis-habisan, saya tidak bagi peluang dan saya haramkan mana-mana tauke judi datang untuk berjumpa dan berbaik dengan saya,” katanya.
#Abdul Hamid Bador #aktiviti mewah #Ketua Polis Negara #majlis berfoya-foya #majlis hari lahir #PDRM #pegawai tinggi #Polis Diraja Malaysia
;