"Saya hanya mahu pulang, adik Zayn Rayyan kini susut" - Datuk

Afiezy Azaman
Jun 13, 2024 07:55 MYT
Zahari berkata, dia dilayan dengan baik oleh pihak polis sepanjang berada di dalam tahanan semalaman. - Foto Astro AWANI
PETALING JAYA: Datuk dan nenek sebelah bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin dibebaskan dengan jaminan polis tepat jam 2.30 petang, pada Khamis.
Zahari Mohd Reba dan Hasni Zakaria diiringi ahli keluarga mereka disamping Peguam Fahmi Moin ketika keluar dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.
Ketika ditemui media, Zahari berkata, dia dilayan dengan baik oleh pihak polis sepanjang berada di dalam tahanan semalaman.
"Makan dan minum baik dan saya berterima kasih kepada pihak polis kerana profesional.
"Saya nak balik berehat dan tengok anak (Zaim Ikhwan) dan menantu (Ismanira) saya dekat rumah," katanya dalam ketika ditemui media di luar perkarangan IPD Petaling Jaya sejurus dibebaskan, pada Khamis.
Pada Rabu, Zahari dan Hasni ditahan polis bagi membantu siasatan kes pembunuhan Zayn Rayyan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Pengesahan penahanan pasangan itu dibuat Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan.
"Sepanjang ditahan di IPD Petaling Jaya ini, saya dilayan dengan baik" - Datuk Zayn Rayyan
Sementara itu, ditanya mengenai keadaan anak kedua Zaim Ikhwan dan Ismanira, Zahari berkata, adik kepada arwah Zayn Rayyan itu mengalami susut badan kerana tidak mahu makan.
"Sekarang ini sepupu saya jaga cucu seorang lagi dan setiap kali waktu petang dia akan selak langsir rumah untuk tengok 'mummy' dengan 'daddy' dia dah balik atau tidak. Badan dia macam susut sebab tak mahu makan jadi saya simpati dengan nasib dia," ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Peguam Fahmi Moin yang mewakili Zaim Ikhwan berkata, kedua-dua datuk dan nenek itu berasa sedih kerana ibu dan ayah Zayn Rayyan itu tetap dituduh di mahkamah, namun mereka menarik nafas lega kerana pasangan itu tidak dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
"Kerana Seksyen 302 Kanun Keseksaan tidak boleh jamin, tapi dituduh di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 jadi boleh jamin jadi mereka sekeluarga boleh bersama-sama semula," ujarnya.
Mengulas mengenai penahanan Zahari dan Hasni oleh pihak polis semalam, Fahmi berkata, pasangan itu tidak mempunyai sebarang isu dan hanya diminta untuk menyambung semula keterangan diberikan sebelum ini.
"Kami juga diberitahu datuk dan nenek perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan dan saya pasti mereka ada ikut arahan dikeluarkan PDRM dan akan sentiasa beri kerjasama untuk mencari siapa pembunuh Zayn Rayyan," katanya lagi.
Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan, 6, ditemui meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai pada jam 10 malam.
Mayat mangsa ditemui oleh kumpulan penduduk yang menjalankan operasi mencarinya.
Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang di kawasan kediamannya sebelum ditemui terbaring di sungai yang jaraknya kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.
#Zayn Rayyan #datuk dan nenek dibebaskan #Zahari Mohd Reba d #Hasni Zakaria