Saya hanya mahu lindungi anak guam - Siti Kassim

Najib Aroff
Jun 24, 2018 16:22 MYT
Siti Kassim berkata tindakannya yang dilihat agresif dalam video tular adalah sebagai satu langkah tepat. -Facebook Suri Kempe
Peguam aktivis Siti Zabedah Kassim atau Siti Kassim berkata tindakan beliau membenarkan anak guamnya berada di rumahnya adalah untuk melindungi mangsa.
Bercakap kepada wartawan selepas dibebaskan, Siti berkata Majistret Kajang enggan membenarkan permohonan reman selepas meneliti keseluruhan kes berkenaan.
BACA: Mahkamah tolak permohonan reman Siti Kassim
“Majistret membuat keputusan tepat tersebut setelah mendengar secara terperinci kes berkenaan. Saya hanya jalankan tugas sebagai peguam yang terbaik dan saya tidak cetuskan kekecohan,
“Saya juga memberikan kerjasama penuh terhadap pihak polis,” katanya sambil menambah tindakan beliau yang dilihat agresif dalam video yang tular adalah sebagai tindakan tepat.
Siti Kassim didakwa ‘menculik’ anak guamnya dari keluarga beliau ketika wanita itu sedang mendapatkan rawatan psikiatri di Hospital Kajang.
BACA: Siti Kassim ditahan halang tugas penjawat awam
“Sebagai seorang peguam, anda mahu peguam anda bersifat lemah jika berada dalam situasi berkenaan?
“Ramai kaum lelaki cuba menolak saya di hospital ketika itu, jadi mengapa saya tidak tegas? Saya tidak akan lemah dalam keadaan sebegitu,” katanya.
Penahanan itu tular menerusi video berdurasi tiga minit yang dimuat naik di media sosial.
Siti berkata beliau juga tidak tahu di mana anak guamnya berada ketika ini.
“Saya tidak tahu, saya ditahan semalaman dan saya tidak sempat mandi atau berus gigi, apa lagi untuk menghubungi sesiapa,” katanya.
#anak guam #culik #Polis Daerah Kajang #rawatan psikiatri #Siti Kassim #Siti Zabedah Kassim
;